Makan biar kenyang, jom cuba roti canai dulang

Roti canai bersaiz dulang besar untuk empat atau lima orang dijual RM10 sekeping. — Foto ihsan Facebook/Ana Farhana
Roti canai bersaiz dulang besar untuk empat atau lima orang dijual RM10 sekeping. — Foto ihsan Facebook/Ana Farhana

ALOR GAJAH, 24 Ogos — Jika singgah ke Kampung Cherana Putih, Simpang Ampat dekat sini, anda boleh merasai roti canai gergasi bersaiz dulang besar.

Roti canai unik, lembut dan garing dihasilkan peniaga Razali Abdul Rahman, 53, yang berpengalaman menguli tepung sejak berumur 16 tahun, lapor Harian Metro.

Ditemui di gerainya, beliau mula berniaga menebar roti canai sejak 2009 selepas sekian lama menyimpan hasrat mahu mengusaha perniagaan sendiri.

“Saya menghasilkan roti canai dulang bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi memenuhi permintaan pelanggan terutama mereka yang datang dalam jumlah ramai,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan daripada kakitangan kerajaan, pekerja swasta dari Alor Gajah atau Bandaraya Melaka serta penduduk setempat.

Bagi menghasilkan roti canai kecil untuk dua atau tiga pelanggan, beliau mengadun dua doh tepung serta tiga biji telur. Ia berharga RM4 sekeping.

Roti canai bersaiz dulang besar pula untuk selera empat atau lima pelanggan, beliau mengadun tiga doh dengan 10 biji telur. Ia dijual RM10 sekeping.