Jerebu bawa rezeki kepada peniaga 'Wonderful World of Coconut Shake' di JB

Pelajar sekolah Amirah Balqis Makhadzir (kanan), 16, menunjukkan 'coconut dan manggo shake' yang dibeli di gerai 'Wonderful World Coconut Shake'. ― Foto Bernama
Pelajar sekolah Amirah Balqis Makhadzir (kanan), 16, menunjukkan 'coconut dan manggo shake' yang dibeli di gerai 'Wonderful World Coconut Shake'. ― Foto Bernama

JOHOR BARU, 17 Sept ― Cuaca panas dan berjerebu yang melanda negara ketika ini ternyata memberi rezeki cukup lumayan kepada seorang peniaga “coconut shake”, minuman berasaskan air kelapa muda, di bandar raya ini. 

Tinjauan Bernama di gerai “Wonderful World of Coconut Shake” milik Mazuri Lawan, 53, di Jalan Kolam Ayer, di sini, sejak 12 tengah hari hingga 2 petang, semalam, mendapati gerai itu tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.

Selain coconut shake asli yang disertakan aiskrim vanila itu, minuman lain yang dijual termasuk coconut shake oreo, mango shake serta durian belanda shake.

Mazuri berkata pada hari biasa lazimnya, dia hanya menjual antara 40 dan 50 cawan pelbagai minuman tersebut, namun, jualan meningkat kepada antara 70 dan 80 cawan dalam tempoh dua minggu ini.

“Kebanyakan pelanggan saya menggemari coconut shake asli. Boleh dikatakan saya tidak ‘menang tangan’ kerana pengunjung sentiasa ada terutamanya pada waktu tengah hari,” katanya yang berniaga di lokasi itu sejak empat tahun lepas bermula 9 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Mazuri berkata, coconut shake asli, mango shake dan durian belanda shake dijual pada harga RM4 secawan manakala coconut shake oreo berharga RM5.

Katanya, kira-kira 50 biji kelapa matang dan mawar digunakan untuk menghasilkan coconut shake asli dan oreo.

Kelapa dibeli dari peraih di bandar raya ini yang mendapatkannya dari pekebun di Pontian dan Kluang.

Sementara itu, seorang pelajar, Amirah Balqis Makhadzir, 16, berkata dia amat menggemari coconut shake asli dan sudah berkunjung ke gerai tersebut lima kali sebelum ini.

“Hari ini saya bersama rakan Mashita Ussaimiah Hamdan, 14, membeli dua coconut shake asli dan dua mango shake termasuk yang dikirim rakan lain. Cuaca panas dan jerebu membuatkan kami mencari minuman segar seperti ini,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Mohd Firdaus Mohd Sulaman (ulang: Sulaman), 27, dari Taman Perling pula  membeli dua cawan coconut shake asli dan dua cawan mango shake.

“Saya kebetulan ada urusan berhampiran gerai ini dan alang-alang lalu, saya terus singgah untuk membeli coconut shake asli dan mango shake ini,” katanya yang pernah beberapa kali membeli minuman berkenaan sebelum ini. ― Bernama

Artikel Berkaitan