Pertama kali, pesta makan Cyberjaya hidang juadah anak tempatan

Karipap Mutiara dari Pulau Pinang yang begitu dikenali dengan Karipap Rusa dan Karipap King Kong akan mengambil bahagian dalam CMBF hujung bulan ini. — Foto oleh Fried Chillies
Karipap Mutiara dari Pulau Pinang yang begitu dikenali dengan Karipap Rusa dan Karipap King Kong akan mengambil bahagian dalam CMBF hujung bulan ini. — Foto oleh Fried Chillies

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Buat pertama kali Cyberjaya Makan Best Fest (CMBF) dianjurkan 20 Oktober ini menampilkan kuih-muih dan hidangan air tangan peniaga tempatan.

Ketua pegawai eksekutif Fried Chillies berkata acara yang berlangsung di Rekascape Cyberjaya bakal menampikan pelbagai makanan lazat dan berkualiti tinggi.

“Kami menyediakan platform yang terbaik agar komuniti ini dapat berkomunikasi, meraikan dan menikmati makanan-makanan yang hebat dengan harga yang berpatutan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka.

“CMBF menyediakan sesuatu untuk semua peringkat masyarakat. Jika anda peminat makanan tegar, maka ini adalah acara yang paling sempurna untuk anda.

“Jika bukan, CMBF adalah acara yang sesuai dikunjungi bersama keluarga dan rakan taulan bagi meluangkan masa di hari minggu dan melihat serta merasakan pengalaman baru.

“Kami jamin anda akan terhibur dengan sajian aktiviti kami,” kata Adly Rizal.

Acara yang berlangsung dari 10 pagi hingga 8 malam turut diadakan kelas pembuatan kuih secara percuma untuk menunjukkan cara sebenar menyediakan kuih.

Satu diskusi perniagaan juga akan dikendalikan oleh peniaga makanan yang berjaya termasuk ceramah berkenaan penjenamaan oleh Rekanegara yang dikenali dengan hasil kerja bersama Coca-cola dan Malaysia Airlines.

Gerai yang akan memeriahkan CMBF hujung bulan ini adalah Karipap Mutiara dari Pulau Pinang yang begitu dikenali dengan Karipap Rusa dan Karipap King Kong mereka yang besar dan tidak lokek inti.

Veteran dalam industri pembuatan kuih seperti Mak Jah, La Cucur dan Mok Teh yang dikenali dengan kuih-muih dari Pantai Timur dan Apom Johol dari Negeri Sembilan bakal ditampilkan.

Tidak ketinggalan Pastribella yang dimiliki juara Masterchef 1, myPizzaLab, Nasi Lemak Angah dari Jalan Ipoh dan Beard Brothers BBQ.

Artikel Berkaitan