Dulu penggemar McDonalds kini ‘McJihan’, Tengku Jihan bergurau sakan

Warga maya mereka cipta logo McJihan's yang mirip logo asal Mc Donald's. —  Foto ihsan Twitter/Fakhrul Zihni
Warga maya mereka cipta logo McJihan's yang mirip logo asal Mc Donald's. — Foto ihsan Twitter/Fakhrul Zihni

KUALA LUMPUR, 25 Okt  — Rentetan tular isu burger keju, puteri Permaisuri Agong “membuka” restoran  makanan segera dikenali sebagai “McJihan”.

Memuat naik foto McDonalds depan Hospital Kuantan yang dipercayai diubah suai, Tengku Jihan Azizah Athiyatullah malam tadi bergurau dengan mengajak warga maya ke premis tersebut yang hanya ada di Pahang, negeri kelahiran beliau.

Nama itu dipercayai pertama kali disebut Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui hantaran Twitter awal pagi semalam ketika baginda meminta warga maya tidak mengecam Mc Donalds Malaysia berikutan kekurangan pada burger keju Tengku Jihan.

“Tolong janganlah marah sangat kat McD (Mc Donald)... bukan salah mereka.... dalam banyak-banyak tu adalah yang terkurang... Jihan memang suka sangat makan McD... setiap hari beli McD... nama dia pun saya sudah tukar... McJihan!” tulis baginda.

Tengku Jihan sendiri dilihat terkejut dengan nama tersebut sebelum ia tersebar ke kalangan warga maya hingga seorang individu iaitu Fakhrul Zihni mereka cipta logo McJihan.

“Ya Allah McJihan pulak,” katanya yang kemudian menghiasi akaun media sosialnya dengan foto memaparkan nama berkenaan.

Tengku Afzan Aminah Hafidzatullah, seorang lagi puteri Permaisuri Agong turut sama bergurau dengan menyebut beliau adalah “kakak kepada Ku McJihan” pada profil Twitternya.

Telatah mereka menarik minat warga maya yang menyifatkan gurauan keluarga diraja itu “comel”. Namun, ada juga keliru sama ada paparan foto McJihan benar-benar asli.

Semalam, warga maya kecoh berikutan burger yang dipesan Tengku Jihan hanya ada roti dan keju. Namun, pengurusan Mc Donald’s sudah memohon maaf secara terbuka dan memberi penjelasan tertutup kepada puteri bongsu Permaisuri Agong.

Artikel Berkaitan