Keropok ikan anak Datuk Seri Vida dapat sambutan di China

Datuk Seri Vida bersama anaknya Edlynn Zamilleen Muhammad Amin atau mesra panggilan Cik B. -- Foto ihsan Instagram/cikb_havoc66
Datuk Seri Vida bersama anaknya Edlynn Zamilleen Muhammad Amin atau mesra panggilan Cik B. -- Foto ihsan Instagram/cikb_havoc66

HUNAN (China), 17 Nov — Hari ketiga Pameran Komoditi Antarabangsa Satu Bandar Satu Produk 2019 (OTOP) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Changsha, menyaksikan produk berasaskan durian, durian crepe, keropok kulit ikan salmon salut telur masin Cik B, serta kopi herba ginko madu kelulut, mendapat sambutan di luar jangkaan.

Pengarah Urusan Rania Foods, Rohazawati Mamat berkata lebih 250 kotak durian crepe yang dibawa dari Malaysia habis dijual pada harga 60 renmimbi (RM1=1.69 renmimbi) sekotak.

”Kami pun tak sangka lebih 250 kotak durian crepe yang dibawa habis dijual dalam tempoh tiga hari, dengan kebanyakan pembeli mengakui makanan itu enak dan boleh diulang makan”, katanya kepada pemberita selepas menutup jualan hari ketiga, di Changsha hari ini.

 

 

Menurut Rohazawati, pasar raya terkenal China, E-Fresh, telah memberi lampu hijau untuk menjual durian crepe di pasar raya berkenaan melalui memorandum persefahaman yang dimeterai antara Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) dan E-Fresh Food Co. Ltd, semalam.

Beberapa pasar raya lain juga mengintai produk ini untuk dipasarkan dan perbincangan akan terus dibuat dari semasa ke semasa sehingga perjanjian dimeterai, katanya.

Sementara itu, produk keluaran Vida Beauty Sdn Bhd, keropok kulit ikan salmon bersalut telur masin Cik B, turut mendapat sambutan hangat di sepanjang pameran komoditi ini berlangsung.

Pengurus Perhubungan Awamnya Siti Haryanti Mohamad berkata kebanyakan pengunjung yang singgah di reruai mereka mencuba produk berkenaan, selain kopi Pamoga yang popular di Malaysia.

“Kami bawa 64 botol kecil dan 48 botol besar produk Cik B, dan 120 kotak kopi pamoga. Alhamdulillah semuanya habis dijual hari ini,” kata Siti Haryanti.

Produk Keropok Cik B dijual pada harga 128 renmimbi bagi botol bersaiz besar, dan 89 renmimbi bagi saiz kecil, manakala kopi Pamoga pula sebanyak 58 renmimbi sekotak.

”Hari ini kami buat promosi beli dua keropok Cik B saiz besar akan dapat satu botol kecil juga,” katanya.

Turut mencuri perhatian pengunjung pada pameran komoditi ini ialah kopi herba ginko madu kelulut keluaran Feexa Coffee yang menerima tempahan memberangsangkan sepanjang pameran berlangsung.

Ketua Pegawai Operasinya, Peter Nicoll berkata syarikat hanya membawa 40 kotak kopi tersebut dan setakat tiga hari pameran, hampir 75 peratus produk dijual.

”Kami tidak sangka di China juga sambutan terhadap kopi Malaysia amat tinggi, tambahan pula dengan campuran herba ginko dan madu kelulut,” katanya.

Ditanya mengenai permintaan selepas ini, beliau berkata syarikatnya turut tersenarai antara 20 syarikat tempatan yang akan memasarkan barangan mereka ke E-Fresh.

Malah, tempahan turut diterima dari pasar raya besar lain sebanyak satu kontena (1 kontena = 8000 bungkusan) setakat ini.

Ketiga-tiga syarikat ini mencatatkan jualan tertinggi dalam kalangan 46 syarikat Malaysia yang menyertai OTOP 2019 di Changsha, Hunan China, yang berlangsung dari 15 hingga 19 Nov ini.

Pada Sabtu, Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) memeterai perjanjian persefahaman bernilai 20 juta renminbi dengan E-Fresh Food Corporation Limited untuk memasarkan lebih 200 produk buatan Malaysia dari 20 syarikat tempatan ke rangkaian pasar rayanya. — Bernama

Artikel Berkaitan