Burger panggang enak dari dapur tanah liat, hanya di Jerantut

Burger BBQ Chicken yang paling mendapat sambutan di gerai Grill Addict. — Foto ihsan Grill Addict
Burger BBQ Chicken yang paling mendapat sambutan di gerai Grill Addict. — Foto ihsan Grill Addict

JERANTUT, 27 Jan — Isi daging burger menggiurkan hasil adunan resepi tersendiri sebelum dipanggang dengan menggunakan dapur tanah liat berjaya dicipta dua sahabat dari bandar ini.

Minat mendalam serta pengalaman dalam pengurusan dan perusahaan makanan membuatkan Wan Shahnizam Wan Ishak, 34, dan Muhammad Azri Azrai Mohd Nasir, 34, mencipta kelainan dalam menu burger Amerika Syarikat.

Lima menu yang pasti menambat selera penggemar burger pastinya Classic Cheese Burger, Salted Egg Burger, Smokey BBQ Burger, Coney Cheese Burger, dan Double Trouble Burger.

Wan Shahnizam berkata, burger mereka menggunakan daging hancur yang diadun bersama beberapa rempah sebagai perasa. 

Wan Shahnizam dan Mohd Azri Azrai menunjukkan dapur tanah liat yang dibuat khas untuk mendapatkan rasa ‘smokey’ pada isi daging segar. — Foto ihsan Grill Addict
Wan Shahnizam dan Mohd Azri Azrai menunjukkan dapur tanah liat yang dibuat khas untuk mendapatkan rasa ‘smokey’ pada isi daging segar. — Foto ihsan Grill Addict

“Kami mengambil masa hampir sebulan bagi mendapatkan rasa yang betul pada patty (isi daging burger) berkenaan. Daging kemudian dipanggang di dalam dapur tanah liat atau seramik yang ditempa khas untuk mendapatkan rasa smokey (salai).

“Patty ini menggunakan 150 gram daging cincang dan disempurnakan pula dengan roti yang lembut, sayur segar serta sos istimewa yang juga resepi tersendiri kami,” kata bekas pelajar UniKL Malaysian of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) dalam jurusan Kejuruteraan Kimia Teknologi Makanan.

Wan Shahnizam berpengalaman mengendalikan makanan selain mempunyai sebuah perniagaan makanan di Jerantut sejak hampir 10 tahun lalu.

Burger yang dihasilkan dua sahabat baik ini mendapat sambutan menggalakkan. — Foto ihsan Grill Addict
Burger yang dihasilkan dua sahabat baik ini mendapat sambutan menggalakkan. — Foto ihsan Grill Addict

Anak kelahiran Kampung Lata Kasah, di sini, mencetuskan idea menggunakan dapur tanah liat berbanding arang bagi mengurangkan pembakaran karbon dalam isi daging burger.

Rakan kongsinya, Mohamad Azri Azrai berkata, pelanggan perlu menempah sehari awal terlebih dahulu menggunakan aplikasi WhatsApp.

Gerai Grill Addict yang terletak di medan selera D’Kilau Court, bandar lama Jerantut itu mula beroperasi sejak 15 Disember tahun lalu.

“Jadi terpulang atas keselesaan pelanggan sama ada mahu mengambil sendiri pesanan mereka di kedai kami atau menerima tempahan melalui khidmat penghantaran (COD) di lokasi sekitar bandar Jerantut.

“Rata-rata pelanggan kami berpuas hati dengan rasanya. Rasanya yang menyelerakan serta saiz besar adalah amat berpatutan dengan harga antara RM15 hingga RM23,” katanya.

Daging kisar resepi sendiri diadun dengan herba memberikan rasa yang enak serta berjus. — Foto ihsan Grill Addict
Daging kisar resepi sendiri diadun dengan herba memberikan rasa yang enak serta berjus. — Foto ihsan Grill Addict

Mohamad Azri sebelum ini berpengalaman sebagai cef selama 11 tahun di Hotel Royale Bintang The Curve, Hotel One World Damansara, Hotel Pullman dan beberapa rangkaian makanan segera di Kuala Lumpur.

Berdasarkan pengalamannya itu, pemuda yang mempunyai latar belakang dalam bidang kulinari mempunyai kebolehan meningkatkan resepi serta rasa burger tersebut.

Setakat ini, Grill Addict hanya beroperasi di sekitar Jerantut dan sebarang tempahan boleh dibuat melalui www.wasap.my/60142527565/nakburgergrilladdict.

Artikel Berkaitan