Media sosial lonjak perniagaan Mee 'sayur' Sudin

Pengasas Siti Jamilah Mahful, 35, melakukan proses membuat mi sayur bayam di bawah jenama 'Mee Sudin' di Laman Niaga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Jalan Tambak baru-baru ini. -- Foto Bernama
Pengasas Siti Jamilah Mahful, 35, melakukan proses membuat mi sayur bayam di bawah jenama 'Mee Sudin' di Laman Niaga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Jalan Tambak baru-baru ini. -- Foto Bernama

MELAKA, 22 Mac — Penggunaan media sosial secara efektif menerusi teknik yang betul sebagai platform mempromosikan produk serta meningkatkan hasil jualan memberi kesan positif pada perniagaan Syarikat Mee Sudin Food Industry yang mengeluarkan mi sayur di bawah jenama "Mee Sudin."

Pengasasnya, Siti Jamilah Mahful, 35, berkata sebagai usahawan kecil dan sederhana beliau perlu memastikan kandungan promosi atau perkongsian berkaitan mi sayur di Facebook (FB) dan Instagram di bawah akaun Mee Sudin kreatif dan menarik perhatian pengikut media sosial mahupun pelanggan.

Beliau berkata kekerapan mengemas kini perkongsian di media sosial khususnya berkaitan pembuatan mi, pengeposan kepada pelanggan serta program bersama pelanggan juga antara yang menyumbang pada pengembangan perniagaan 'Mee Sudin' terutama selepas mengikuti Program e-Dagang Setempat (PeDAS) pada Oktober 2019.

"Sebelum menyertai PeDAS saya telah mempromosikan 'Mee Sudin' menerusi FB dan Instagram, tetapi menerusi program itu, banyak teknik yang betul mengendalikan media sosial dapat saya pelajari, sekali gus kesan positif dapat dilihat seperti pelanggan atau pengikut semakin bertambah dan permintaan juga meningkat.

"Kalau sebelum ini sehari saya hanya keluarkan 50 hingga 60 paket mi basah, namun kini sekurang-kurangnya 100 paket sehari perlu dikeluarkan. Berdasarkan permintaan yang diperoleh dan dalam tempoh enam bulan akan datang saya menyasarkan kira-kira 2,000 pekat mi sayur basah dapat dijual sebulan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di premis pembuatan 'Mee Sudin' di Laman Niaga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Jalan Tambak Paya di Ayer Molek di sini, baru-baru ini.

Siti Jamilah berkata menerusi PeDAS juga, beliau didedahkan dengan ilmu e-dagang untuk meningkatkan dan mempelbagaikan medium jualan menggunakan platform jualan dalam talian menerusi Pusat Internet Desa (PID) di Tanjung Kling di sini.

Anak kelahiran Kampung Tanjung Mak Midah di sini berkata PeDAS juga membantu usahawan mencari dan menetapkan hala tuju perniagaan menerusi sasaran kuantiti pengeluaran produk, pasaran yang hendak ditembusi dan penggunaan teknologi yang lebih menyeluruh dalam pengeluaran.

"Sekarang ini pengeluaran Mee Sudin menggunakan masing-masing dua mesin pengadun dan mesin mi separa automatik dan saya berharap mesin yang lebih moden dapat digunakan pada masa hadapan," katanya yang memulakan perusahaan itu di rumahnya pada 2016 sebelum berpindah ke premis komersial pada 2018.

Graduan Universiti Malaysia Pahang itu berkata pencapaian yang dikecapi susulan PeDAS ialah beliau berjaya mengeluarkan mi sayur dalam bentuk kering dalam usaha memasarkan produk berkenaan ke destinasi luar Melaka seperti Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Sabah yang berjaya ditembusi.

Mengulas idea mengeluarkan mi sayur, katanya resepi itu diperoleh daripada kakak iparnya, Adiah Gusi, 40, manakala jenama "Mee Sudin" adalah sempena nama arwah ayahnya Mahful Yamin yang mesra dengan panggilan "Wak Sudin" dalam kalangan penduduk kampung serta kenalan rapat.

Produk itu kini mempunyai 10 'home dealer' di sekitar Melaka selain dipasarkan menerusi beberapa pasar mini halal.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata mi sayur yang dibuat menggunakan seratus peratus ekstrak sayur-sayuran yang memberikan rasa lemak manis daripada sayur segar, tanpa pengawet atau pewarna dan sesuai untuk mereka yang mengamalkan pemakanan sihat serta yang alah pada bahan kapur yang kebiasaannya digunakan dalam penghasilan mi.

Beliau berkata "Mee Sudin" basah dan kering mempunyai tiga perisa sayur iaitu bayam, lobak dan labu yang masing-masing dijual pada harga RM3.50 dan RM5 sebungkus serta mempunyai tempoh luput di antara dua minggu dengan tiga bulan bergantung pada cara penyimpanan.

PeDAS dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui agensinya, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan merupakan inisiatif yang dilaksanakan di seluruh negara melalui 10 PID untuk menggalakkan transformasi digital dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana di luar bandar, sejajar dengan perkembangan pesat e-dagang.

Berlandaskan slogan “Satu Klik, Sejuta Peluang,” PeDAS kini ditawarkan di PID yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memberi peluang dan ruang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana serta mikro menguasai kemahiran dalam perniagaan menerusi e-dagang. — Bernama

Artikel Berkaitan