700 peniaga GanuShop, jual juadah ganti bazar Ramadan

GanuShop adalah platform disediakan kerajaan negeri susulan pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini. — Foto oleh Farhan Najib
GanuShop adalah platform disediakan kerajaan negeri susulan pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini. — Foto oleh Farhan Najib

KUALA TERENGGANU, 16 April — Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM120,000 kepada 800 penghantar makanan atau “runner” untuk bazar Ramadan dalam talian  dikenali sebagai ‘GanuShop’ yang akan beroperasi pada Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata peruntukan itu adalah elaun khas untuk golongan itu yang akan menerima RM150 setiap seorang untuk bulan Ramadan nanti.

“Kita akan buka permohonan untuk menjadi penghantar makanan ‘GanuShop’ ini pada Sabtu atau Ahad ini yang mana pemilihannya akan diuruskan oleh semua 32 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu.

“Selain elaun khas RM150 dari kerajaan negeri, penghantar makanan ini juga akan memperolehi pendapatan lain melalui caj penghantaran yang dikenakan kepada pembeli,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘GanuShop’ di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Bagi melancarkan lagi pergerakan penghantar makanan ini, kerajaan negeri akan mengeluarkan pas lantikan khas GanuShop agar mereka boleh melangkaui jarak 10 kilometer (km) yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berjalan.

‘GanuShop’ adalah platform perniagaan yang disediakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu susulan pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi ‘GanuShop’ di telefon pintar mereka untuk mendapatkan pelbagai barangan sepanjang Ramadan seperti makanan, minuman, pakaian dan produk sejuk beku.

Mohd Nurkhuzaini berkata keutamaan diberi kepada peniaga yang telah mendapat suntikan tifoid dan pernah menjalankan perniagaan di bazar Ramadan sebelum ini kerana mereka lebih berpengalaman dalam mematuhi aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu untuk melakukan pemeriksaan secara rambang di rumah peniaga yang terlibat.

“Setakat ini, 700 peniaga sudah mendaftar secara rasmi di ‘GanuShop’ dan jumlahnya dijangka akan terus meningkat dalam masa terdekat,” katanya. — Bernama