Lebih selamat makan di restoran berbanding di rumah, kata cef terkenal Perancis

Cef terkenal Perancis Alain Ducasse berkata adalah lebih selamat makan di restoran berbanding di rumah ketika pandemik Covid-19. — Foto AFP
Cef terkenal Perancis Alain Ducasse berkata adalah lebih selamat makan di restoran berbanding di rumah ketika pandemik Covid-19. — Foto AFP

PARIS, 26 April — Bintang cef terkenal Perancis berpendapat adalah lebih selamat makan di restoran berbanding di rumah ketika pandemik Covid-19.

Alain Ducasse menegaskan risiko terkena jangkitan virus dengan membeli dan memasak di rumah adalah lebih tinggi, lapor AFP.

“Lebih baik makan di restoran yang mengutamakan semua langkah kebersihan berbanding di rumah apabila anda terpaksa pergi bersesak-sesak ke pasaraya, menyentuh buah-buahan dan tidak semua orang memakai penutup muka,” katanya kepada agensi berita itu.

Pemilik restoran 17 bintang Michelin, taraf tertinggi dunia, itu berkata restoran merupakan tempat lebih bersih untuk makan.

Seluruh restoran di dunia kini ditutup bagi mengekang penularan wabak selain salah satu kaedah penjarakan sosial.

Namun kebanyakannya masih dibuka untuk khidmat penghantaran dan pembungkusan makanan, termasuk restoran milik Ducasse.

Kerajaan Perancis baru-baru ini berkata pihaknya akan menentukan tarikh restoran dan kafe akan dibuka hujung Mei, jika jumlah kematian terus menurun.

Perancis antara negara paling ramai tumpuan pelancong, dengan kira-kira satu juta rakyat bekerja di sektor hospitaliti.

Restoran dan kafe merupakan simbol identiti dan budaya negara itu, namun ia ditutup sejak enam minggu lalu ekoran Covid-19.

Ducasse menyifatkan perintah berkurung sebagai “bencana” untuk sektor itu, yang kebanyakannya milik perniagaan keluarga dan hanya mampu bertahan untuk beberapa minggu sahaja.