Durian mahal? Pembeli tidak kisah asal berkualiti

Rakyat negara ini berpeluang menikmati pelbagai aneka jenis durian berkualiti memandangkan ramai pengusaha tidak dapat memasarkan ia di luar negara ekoran pandemik Covid-19. — Foto oleh Muhammad Yusuf Ibrahim
Rakyat negara ini berpeluang menikmati pelbagai aneka jenis durian berkualiti memandangkan ramai pengusaha tidak dapat memasarkan ia di luar negara ekoran pandemik Covid-19. — Foto oleh Muhammad Yusuf Ibrahim

KULIM, 2 Jun — Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini sememangnya memberi kesan terhadap pengusaha buah durian memandangkan ia tidak dapat dieksport susulan kawalan ketat kebanyakan negara.

Bagaimanapun, senario itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada rakyat negara ini kerana berpeluang menikmati durian yang lebih berkualiti selain mempunyai pelbagai aneka pilihan.

Tinjauan ProjekMM di sekitar Kulim, Kedah mendapati rata-rata peniaga durian memasarkan buah durian berkualiti tinggi seperti Musang King, D24, Duri Hitam, Ang Bak Kia, Khunpoh dan banyak lagi.

Namun, terdapat juga rungutan daripada orang ramai berpandangan harga raja buah itu masih boleh dianggap mahal sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

Menurut suri rumah, Zureda Che Jan, 52, harga durian masih mahal walaupun buah itu mudah didapati.

“Saya tak rasa murah sebab tengok dekat tempat lain sama saja mahal.

“Walaupun mahal, pada saya masih banyak pilihan dan saya anggap asalkan sedap, berkualiti, mahal-mahal pun kena beli juga nak buat macam mana dah teringin,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Fadhlan Azizi Yon, 36, mengakui tidak mempunyai masalah berbelanja lebih asalkan berpeluang menikmati kelazatan durian.

“Ini kali kedua saya beli. Isteri saya suka sangat jenis Khunpoh, Duri Hitam dan Musang King. Lagipun di sini murah, buah elok dan boleh tawar-menawar harga sedikit,” kata Fadhlan.

Sementara itu, pemandu teksi, Selvarajoo Iyavoo, 58 tahun berpandangan durian yang dibeli kali ini lebih berkualiti berbanding apa yang pernah dirasainya.

“Musim (tahun) ni baru saya mai (mari) cari durian. Waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) nak pi beli tak boleh. Tapi saya lebih suka buah kampung sebab rasa dia lagi sedap dan harga berpatutan. Sekilo RM6 ke RM7 oklah kira di bawah RM10 kira murahlah tu,” katanya.

Artikel Berkaitan