Anak muda punk di Ipoh beri makanan percuma untuk gelandangan

Anak muda punk turun ke Ipoh mengedarkan makanan dan minuman percuma kepada gelandangan di bandar itu. ― Foto-foto oleh Farhan Najib
Anak muda punk turun ke Ipoh mengedarkan makanan dan minuman percuma kepada gelandangan di bandar itu. ― Foto-foto oleh Farhan Najib

IPOH, 14 Okt ― Segelintir masyarakat masih ada yang memandang sinis terhadap golongan muda yang berpakaian punk.

Berpakaian serba hitam, pengikut sub-budaya itu kali ini turun ke bandar Ipoh membawa beberapa beg plastik mengandungi bungkusan makanan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Jurucakapnya Rozaiman Salahuddin berkata, mereka merupakan sebahagian ahli Food Not Bombs, kumpulan yang memberi makanan berasaskan sayur-sayuran dan tidak berdaging.

Katanya pertama kali mengedarkan makanan pada 2 Jun lalu apabila mereka menyiapkan 20 peket bihun.

“Pada mulanya kami mahu mencuba, bermula di sekitar Medan Selera Dato Tahwil Azar kira-kira pukul 8 malam.

“Namun setibanya kami di kawasan tempat parkir kereta, kami gagal menemui gelandangan,” katanya kepada Malay Mail.

Tidak berputus asa, pemuda berusia 35 tahun itu berkata beliau dan rakan-rakan memandu sekitar bandar pada malam itu untuk mencari gelandangan.

“Kami akhirnya berjaya jumpa tiga orang, mereka tidur di depan bank Jalan Sultan Idris Shah dan memberi mereka bungkusan makanan serta minuman,” katanya.

Bermula dengan 20 peket, kini kumpulan punk di Ipoh mengedarkan 80 peket makanan kepada golongan yang memerlukan.
Bermula dengan 20 peket, kini kumpulan punk di Ipoh mengedarkan 80 peket makanan kepada golongan yang memerlukan.

Kini, mereka menjadikan Jalan Datuk Onn Jaafar sebagai tapak agihan makanan, namun tidak mempunyai masa yang tetap.

“Kumpulan kami termasuk isteri saya adalah pekerja makan gaji. Kami perlu memastikan kerja kami selesai sebelum menjalankan program bantuan makanan,” kata Rozaiman yang berkerja sebagai tukang kimpal di sebuah kilang di Chemor.

Namun beliau berharap kekangan itu dapat diatasi memandangkan semakin ramai pihak yang tampil mahu membantu mereka mengagihkan makanan.

Ditanya tujuan mereka melakukan kerja-kerja amal itu, Rozaiman berkata mereka mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa golongan punk seperti mereka juga mempunyai perasaan.

“Kami bukan semata-mata melawan,” kata bapa kepada anak lelaki berusia lapan tahun.

Katanya mereka banyak menerima komen negatif, salah satunya daripada seorang wanita yang menyuruh mereka “berpakaian elok” dan bukannya serba hitam jika mahu melakukan amal kebaikan.

Kumpulan itu mengalu-alukan sumbangan dana untuk meneruskan program itu. Beliau boleh dihubungi melalui https://www.facebook.com/je.man2.

Kumpulan itu juga menjual baju T untuk mengumpul dana program.

“Sehelai baju dijual pada harga RM23, RM3 daripadanya akan disalurkan ke program itu,” katanya.

Artikel Berkaitan