Daging salai, asam pedas segera di kedai serbaneka

Tujuh menu baharu LengQuas keluaran Kopetro Food Sdn Bhd hari ini. — Foto Bernama
Tujuh menu baharu LengQuas keluaran Kopetro Food Sdn Bhd hari ini. — Foto Bernama

SERDANG, 15 Dis — Syarikat penyedia makanan dan pastri, Kopetro Food Sdn Bhd hari ini memperkenalkan tujuh menu baharu makanan sedia dimakan yang akan dipasarkan mulai minggu hadapan menerusi jenama LengQuas, sempena 40 tahun penubuhan Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro).

Pengerusi Kopetro Food Sdn Bhd Datuk Abdul Razak Hussain berkata ia terdiri daripada lima menu tradisional iaitu Daging Salai Lemak Kuning, Kari Daging Berkentang, Asam Pedas Daging, Kuah Kacang dan Daging Dendeng serta dua menu antarabangsa iaitu Beef Stew dan Chicken Herb Glaze.

“Pengenalan menu baharu ini bertujuan memberi variasi kepada menu sedia ada selain mencuba untuk memenuhi cita rasa pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan menu baharu itu di sini, hari ini.

Sebelum ini LengQuas telah menghasilkan 14 jenis makanan sejuk beku dan sedia dimakan antaranya Paru Goreng Berlada, Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam, Nasi Hujan Panas Ayam Kurma, Nasi Lemak Ikan Bilis dan Nasi Briyani Ayam Rendang.

Kesemua 14 produk itu telah berada di pasaran seperti kedai serbaneka 7 Eleven, My News, Tekun Mart dan pasar raya tempatan terpilih di seluruh negara.

Pada masa sama, Abdul Razak berkata pihaknya turut menawarkan fasiliti perkhidmatan pengeluaran makanan serta membuka peluang perniagaan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS).

“Buat masa ini, kami telah melantik seramai 153 ejen jualan di seluruh negara dan bercadang untuk melantik lebih ramai lagi ejen bagi mengembangkan pemasaran produk,” katanya.

Pihaknya juga sedang berusaha untuk membawa produk LengQuas menembusi pasaran antarabangsa seperti Asia Barat, Singapura, Indonesia dan Thailand seawal suku kedua tahun depan.

“Kami sedang dalam rundingan bersama beberapa pengeksport selain dalam usaha untuk mendapatkan sijil Veterinary Health Mark (VHM) daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya.

Jelasnya, semua produk LengQuas telah berjaya mendapat pengiktirafan Pensijilan Sistem Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) serta Amalan Perkilangan Baik (GMP) daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan (KKM) selain pensijilan Halal, MeSTI dan Buatan Malaysia.

Sementara itu, katanya, pihaknya kini menawarkan promosi 10 peratus diskaun bagi setiap pembelian tiga pek dan ke atas sehingga 31 Januari depan.

Kopetro Food yang ditubuhkan pada 2015 merupakan anak syarikat Kopetro dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 17 tan sebulan bersamaan 80,000 pek pelbagai jenis makanan sejuk beku. — Bernama

Artikel Berkaitan