Aroma kuih kapit penyeri Tahun Baharu Cina

Aroma manis kuih kapit memenuhi udara di sekitar Blok 7 Pangsapuri Pelangi, Lebuh Macallum, Pulau Pinang. — Foto Bernama
Aroma manis kuih kapit memenuhi udara di sekitar Blok 7 Pangsapuri Pelangi, Lebuh Macallum, Pulau Pinang. — Foto Bernama

GEORGE TOWN, 26 Jan — Aroma wangi kuih kapit tradisional yang dibakar menggunakan arang, memenuhi udara Blok 7 Pangsapuri Pelangi, Gat Lebuh Macallum di sini, menandakan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) bakal diraikan tidak lama lagi.

Pasangan warga emas berusia dalam lingkungan 70-an, dilihat berada di luar rumah dan sedang sibuk menyiapkan kuih istimewa itu yang telah menjadi kelaziman mereka sejak 20 tahun lalu.

Si isteri Lau Poh Kin, 70, membuat adunan dan membakar kuih kapit yang juga dikenali sebagai love letter di atas api arang dan selepas proses membakar selesai, ia akan diserahkan kepada suaminya Chew Hup Chye, 75, untuk segera melipat dan menyusun kuih itu ke dalam bekas tin.

Chew yang sebelum ini bertugas sebagai penyelia kilang berkata mereka sudah mula membuat kuih kapit dan mengambil tempahan sekitar November tahun lalu.

“Sejak itu, kami telah mula buat kuih kapit setiap hari, dari matahari terbit sehingga matahari terbenam,” katanya kepada pemberita di sini, sambil menambah bahawa 20 bekas tin boleh disiapkan dalam tempoh sehari.

Walaupun Chew tidak dapat mengingati berapa tin yang dijual pada tahun lepas, beliau berkata banyak menerima tempahan dari luar Pulau Pinang seperti Kuala Lumpur dan Johor.

Beliau berkata turut menerima tempahan dari Singapura dan Australia untuk dinikmati pelanggannya di sana.

“Bagaimanapun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila perjalanan antara negeri tidak dibenarkan, kami mengehadkan tempahan pelanggan, kami hanya menerima permintaan dari Pulau Pinang sahaja,” katanya.

Memandangkan sebahagian pelanggannya berasal dari luar Pulau Pinang, beliau juga turut menerima panggilan mengenai pembatalan pesanan mereka untuk kuih kapitnya.

“Sebelum ini kami berjaya menjual sekitar seribu (bekas tin kuih kapit) setahun, tetapi tahun ini berkurangan iaitu dalam ratusan sahaja,” katanya.

Chew menjual dua jenis kuih kapit: satu yang mengandungi perisa babi dijual dengan harga RM30 satu bekas manakala satu lagi tanpa perisa dijual pada harga RM28 satu bekas. — Bernama

Artikel Berkaitan