AirAsia Food lebarkan sayap, saji makanan kota singa

AirAsia Food melebarkan sayap ke Singapura dengan menawarkan peluang dan manfaat untuk pengguna serta peniaga. — Foto ihsan AirAsia
AirAsia Food melebarkan sayap ke Singapura dengan menawarkan peluang dan manfaat untuk pengguna serta peniaga. — Foto ihsan AirAsia

SINGAPURA, 18 Feb — Platform penghantaran makanan, airasia food, kini melebarkan sayap ke Singapura dengan menawarkan peluang dan manfaat untuk kalangan pengguna serta peniaga di negara itu.

Sehubungan itu, airasia food mempelawa kalangan pengendali makanan dan minuman (F&B) di serata Singapura menyertai platform terbabit dan menawarkan kadar khas serendah 8.0 peratus bagi Mac 2021 jika mendaftar sebelum 1 Mac depan.

Kadar komisen biasa yang dikenakan oleh airasia food adalah 15 peratus.

“Singapura merupakan pasaran paling aktif di rantau ini dan kami amat teruja untuk memulakan operasi airasia food di negara itu.

“Kami berharap untuk menyajikan makanan enak daripada premis F&B yang digemari oleh warga Singapura,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, airasia food juga menawarkan kadar komisen terendah yang membolehkan peniaga meraih pulangan lebih tinggi selain mereka turut mengawal penuh menu, harga dan akses mudah dari segi data serta berupaya untuk berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan.

Penyelesaian airasia food itu menawarkan kaedah mudah, lancar serta berpatutan untuk peniaga menerusi pelan serta keuntungan lebih cepat.

Ini termasuk membolehkan peniaga muncul secara langsung dalam tempoh 48 jam selepas pendaftaran selain menjadi saluran alternatif baharu untuk pengguna.

Mereka turut ditawarkan dengan ciri-ciri mesra perniagaan seperti pendaftaran dalam talian yang pantas serta tidak memerlukan kontrak atau borang, dapat bercakap secara langsung dengan pelanggan, membangunkan pangkalan data serta menjangkaui lebih ramai pelanggan.

Peniaga juga mendapat sokongan pengurus akaun khusus bagi membantu perniagaan F&B dalam talian, menyediakan sistem sokongan mengenai analisis serta pemantauan data berkaitan.

Pada masa sama, mereka dapat memanfaatkan usaha pemasaran AirAsia secara meluas dan kempen berkala bagi melonjakkan aspek publisiti dan jualan.

Bagi pengguna, airasia food turut disokong oleh ekosistem membabitkan lebih 1.1 juta ahli BIG di republik itu yang dapat mengumpulkan serta membuat bayaran menggunakan mata BIG.

Selain makanan, Airasia juga mempelawa perniagaan bidang kecantikan, kosmetik, fesyen, barangan keperluan segar dan hotel untuk menyatakan minat menyertai aplikasi ‘super airasia’ yang menyasarkan untuk mengembangkan perkhidmatan e-dagang ke Singapura tidak lama lagi. — Bernama