Kek keju, nasi lemak hidangan warga Putrajaya

Pemilik Kiosk CheeseU Putrajaya melayani pelanggan pada majlis perasmian di Presint 2 baru-baru ini. — Foto Bernama
Pemilik Kiosk CheeseU Putrajaya melayani pelanggan pada majlis perasmian di Presint 2 baru-baru ini. — Foto Bernama

PUTRAJAYA, 13 Mac — Menimba pengalaman selama tujuh tahun di kafe CheeseU di Kota Tinggi, Johor daripada sebagai pelayan hingga bergelar pengurus, Kharul Azman A. Karim kini adalah pemilik kiosk jenama CheeseU yang pertama.

Anak nelayan yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu, Kharul Azman, 30, nekad untuk mengusahakan kiosk CheeseU di Presint 2 di sini sejak 22 Jan lepas kerana minatnya yang mendalam untuk berniaga, ditambah dengan pengalamannya yang mengenali setiap hidangan CheeseU.

“Lepas Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian perniagaan di Kolej Cosmopoint.

“Saya memang berazam untuk menjalankan perniagaan, kerana mahu mengubah nasib keluarga dan syukur Alhamdullillah, saya dapat merealisasikan impian saya,” kata anak keempat daripada lima adik-beradik itu kepada Bernama, baru-baru ini.

Kharul Azman berkata bekas, majikannya Thomas Ang yang juga pengasas CheeseU merupakan individu penting yang tidak putus-putus memberikan khidmat nasihat dan bantuan kewangan, untuk beliau memulakan perniagaan.

Kiosk CheeseU beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam, menyajikan produk utama iaitu kek keju, serta hidangan lain seperti nasi lemak, ‘chicken chop’, sandwich, kopi dan teh.

Kharul Azman juga adalah peserta Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota, yang dirangka oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan agensi lain berkaitan dengan pembangunan usahawan.

Kharul Azman yang menggajikan tiga pekerja di kiosk itu berkata, pendapatan yang diterima agak lumayan dan ramai pengunjung mula mengenali operasi kiosk itu.

“Pembeli boleh bawa pulang, atau makan di sini. PPj turut berbesar hati menyediakan meja dan kerusi bersebelahan kiosk saya ini, terima kasih saya ucapkan,” katanya.

CheeseU kini mempunyai empat kafe, tiga di Johor, satu di Bangi, Selangor dan satu dapur pusat di Kluang, Johor. Kiosk CheeseU di Presint 2 adalah kiosk pertama di bawah jenama CheeseU.

Sementara itu, Ang berkata francais CheeseU merupakan francais mampu milik dengan modal serendah RM100,000 dan mereka yang berminat memulakan francais tersebut, akan diberi khidmat nasihat dan bimbingan.

Ang mensasarkan untuk membuka antara 10 hingga 20 kiosk CheeseU tahun ini termasuk di stesen minyak. — Bernama