Sajian istana, kebab cef Syria laris di Kelantan

Cef Mahmoun Alghaz menyediakan pesanan makan yang ditempah pelanggan ketika ditemui di restorannya di Kota Baru, Kelantan. — Foto Bernama
Cef Mahmoun Alghaz menyediakan pesanan makan yang ditempah pelanggan ketika ditemui di restorannya di Kota Baru, Kelantan. — Foto Bernama

KOTA BARU, 17 Mac — Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu yang dapat digambarkan mengenai kisah hidup seorang tukang masak, berasal dari Damsyik, Syria, Mahmoun Alghaz yang telah berhijrah dan menetap di Malaysia, sejak 11 tahun lepas.

Beliau yang mahir dalam masakan Timur Tengah dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kulinari telah menjelajah hampir ke seluruh dunia termasuk Eropah untuk menimba pengalaman dan mencari rezeki.

Namun, cef berusia 52 tahun itu tidak pernah menyangka hasratnya menjejakkan kaki ke negara ini pada 2010 mengubah kehidupannya 360 darjah, selepas menerima tawaran bekerja dan berkhidmat kira-kira lima tahun sebagai cef peribadi kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

“Ia suatu penghormatan dan pengalaman hebat bagi saya untuk bekerja sebagai tukang masak peribadi Tuanku ketika itu.

“Alhamdulillah, terima kasih Tuanku, saya kini menetap dan hidup bahagia bersama keluarga. Ore Kelate pun keluarga kawe (orang Kelantan juga keluarga saya),” katanya ketika ditemui Bernama di restoran miliknya, JustDoner yang terletak bersebelahan Perpustakaan Awam Kelantan di sini, baru-baru ini.

Menceritakan permulaan hijrah beliau ke Malaysia pada 2010, pada awalnya hasrat beliau hanya untuk bercuti selama beberapa minggu dan meluangkan masa bersama rakan-rakannya yang menetap di Kuala Lumpur.

“Nak dijadikan cerita, rakan saya yang memiliki restoran di Jalan Ampang, Kuala Lumpur meminta saya untuk membantu salah seorang pelanggan tetapnya yang sedang mencari tukang masak untuk bekerja di restoran di Arabest, Lundang dekat sini. Saya kemudian bersetuju untuk membantu.

“Suatu hari selepas beberapa bulan bekerja di restoran itu, Tuanku Sultan, yang ketika itu sebagai Putera Mahkota Kelantan berkunjung ke premis dan makan masakan saya. Keesokan harinya, Tuanku datang lagi untuk makan malam dan memesan makanan yang sama.

“Kemudian, salah seorang setiausaha Tuanku menghubungi saya dan memaklumkan Tuanku mempelawa saya bekerja di Istana Telipot.

“Kemudian, saya bekerja di Istana Negeri selepas Tuanku ditabalkan sebagai Sultan Kelantan,” katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan tanpa rasa kekok.

Berkongsi pengalamannya bekerja sebagai Penolong Pegawai Penyediaan Makanan (Pakar Pemakanan) hingga 2015 di istana, Mahmoun berkata beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Sultan Muhammad V dan menyifatkan Tuanku seorang yang sangat mesra dan peramah.

“Tuanku seorang yang baik. Kadangkala Tuanku secara peribadi akan masuk ke dapur tempat saya bekerja, kemudian memandang saya dan memberi salam, ‘Assalamualaikum’, lalu bertanya:”Mahmoun masak apa hari ini?’,” kata Mahmoun sambil menambah makanan kegemaran Sultan Kelantan ialah masakan daging kambing.

Mahmoun berkata jasa Sultan Muhammad V juga tidak terhitung kerana baginda merupakan insan yang mengatur pertemuan dengan isterinya yang berasal dari Kelantan pada 2011. Kini, pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan berusia antara tiga hingga tujuh tahun.

“Tuanku mencadangkan saya agar berkahwin. Tuanku juga telah menaja segala perbelanjaan dan kenduri perkahwinan saya yang diadakan di Istana Kota Lama kerana saya tiada rumah. Ketika itu, rumah saya adalah istana,” katanya yang kini tinggal di Taman Uda, Pengkalan Chepa.

Luah Mahmoun, walaupun beliau sebelum ini dibayar dengan gaji yang cukup lumayan sebagai cef istana, namun keinginannya untuk ‘berkongsi’  masakannya dengan orang ramai mendorong beliau mengusahakan restoran JustDoner yang dibuka lebih setahun lepas.

JustDoner menjual pelbagai hidangan masakan Arab dan Turki antaranya nasi mandy dan ia sangat popular dalam kalangan penduduk Kota Bharu berikutan keenakkan kebab hasil ‘air tangan’ cef Mahmoun.

“Saya mahu berhubung dengan orang ramai. Saya hendak buat sesuatu yang istimewa seperti semua orang mampu beli untuk makan.

“Harga makanan saya dijual murah seperti kebab kambing RM5 dan kebab ayam RM4. Melalui cara ini, saya dapat membawa “dunia’ di atas meja.

“Anda tidak boleh menjadi tukang masak peribadi untuk selama-lamanya, kerana lambat-laun anda akan berasa bosan.

“Hakikatnya, apa yang anda impikan, anda mesti berusaha sendiri,” katanya mengakhiri perbualan. — Bernama

Artikel Berkaitan