Hadkan masa jual, minum arak — Dominic Lau

3 JUN — Tindakan menyekat, membekukan dan menghentikan lesen penjualan produk alkohol untuk membendung berlakunya kemalangan kerana pemandu mabuk adalah tidak bertepatan. Sebaliknya kesalahan tersebut perlu diletakkan ke atas individu yang terbabit.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyokong tindakan kerajaan agar mempertimbangkan hukuman setimpal untuk pemandu mabuk.

Tindakan ini dilakukan demi mengurangkan lebih banyak kematian orang awam.

Gerakan mengecam perbuatan pemandu mabuk terutamanya yang menyebabkan kecederaan dan kematian.

Ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Namun begitu, soal minuman alkohol bukan persoalannya.

Ia diumpamakan seperti kejadian individu mengambil pisau sayur membunuh orang, tetapi kita jadikan penjual pisau sebagai subjek untuk dipersalahkan.

Apakah kita akan melarang penjualan pisau sebagai langkah pencegahan?

Kerajaan sepatutnya mengkaji undang-undang negara lain sebagai rujukan. Termasuk cara mengawal masa dan menyekat penjualan produk alkohol serta perintah larangan mabuk di kawasan tertentu untuk mencegah masalah orang mabuk di tempat awam.

Difahamkan beberapa negara terbabit mengamalkan larangan minum daripada jam 10.30 malam sehingga 7 pagi di tempat awam.

Semua premis tidak dibenarkan untuk menjual minuman alkohol melainkan di restoran, kafe, bar atau pun di rumah sendiri. Kerajaan harus mempertimbangkan kaedah ini untuk dipraktikkan di sini.

Untuk menyelesaikan masalah pemandu mabuk, undang-undang jenayah perlu diperketatkan untuk membendung permasalahan ini.

Selain mempertingkatkan larangan memandu dalam keadaan mabuk, mempraktikkan hukuman penjara sekurang-kurangnya tujuh hari kepada pemandu mabuk kali pertama (yang kurang berbahaya) menjadi iktibar kepada pesalah untuk mengekang peningkatan kes pemandu mabuk.

* Datuk Dominic Lau Hoe Chai adalah Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan