Dasar industri kreatif yang tidak kreatif ― Thomas Barker

9 JUN ― Ramai pekerja industri kreatif menyambut baik pengumuman kerajaan yang menyalurkan RM225 juta untuk menyokong sektor ini semasa kemerosotan ekonomi dan mendorong pemulihan akibat Covid-19.

Pengumuman ini adalah selari dengan rancangan kerajaan untuk membolehkan produksi penggambaran disambung semula di bawah prosedur operasi standard (SOP) khusus Covid-19.

Sebelum berita ini diraikan, adalah wajar untuk kita meneliti dan mempertimbangkan keberkesanan dana ini dalam membantu industri kreatif kerana penyaluran dana yang seumpama sebelum ini memberi petunjuk dan hasil yang kurang memberangsangkan.

Pakej yang diumumkan merangkumi RM100 juta pinjaman mudah, RM30 juta dan RM10 juta setiap satu untuk MyCreative Ventures dan Cendana untuk pengeluaran geran, RM50 juta untuk pemasaran digital, RM35 juta untuk animasi dan kesan khas visual (Dana Kandungan Digital), serta program latihan termasuk pengedaran digital dan pengembangan model perniagaan.

Ini adalah pakej yang memberi faedah besar bagi menyokong syarikat penerbitan dan projek produksi kreatif kembali ke landasan berikutan cuti luar jangka selama empat bulan.

Lebih penting lagi, ia akan membantu pekerja industri kreatif yang hilang pendapatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Meskipun begitu, perincian perancangan ini perlu dipertimbangkan dan kewajaran serta komitmennya terhadap industri harus dipersoalkan.

Tanda amaran pertama adalah skim ini dilabel sebagai “Rancangan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek.”

Ia mengikut corak skim pembiayaan yang dilaksanakan sejak penggubalan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) pada tahun 2009. DIKN dibantu oleh Dana Industri Kreatif (CIF) bernilai RM200 juta yang ditadbir oleh Bank Simpanan Nasional.

Dr Adrian Lee (Sunway University) dan saya telah melakukan penyelidikan mengenai DIKN dan program pendanaannya dan membuat kesimpulan bahawa program-program tersebut banyak difokuskan pada hasil pengeluaran (contohnya produk kreatif) dengan tumpuan bagi membiayai produksi.

Berbanding dengan dokumen asal DIKN yang menganjurkan reformasi yang luas terhadap sektor seni dan budaya, termasuk pembangunan infrastruktur baru dan pelaburan jangka panjang, skim yang berikut ini jauh lebih sempit dan kurang imaginasi, serta dirancang hanya untuk “kemenangan segera /kejayaan (yang) pantas”.

Peruntukan yang disalurkan untuk pelaburan jangka panjang seperti kemahiran, infrastruktur atau pembangunan institusi keseluruhannya adalah sangat terhad.

Beberapa pengamal mendapat manfaat daripada program kemahiran jangka pendek dan yang lain memperoleh pengalaman berharga di Pinewood Iskandar Studios di Johor.

Dengan pengakuan kerajaan sendiri, CIF seperti “baldi yang bocor” kerana terlalu banyak penerima dana gagal membayar balik. Fakta ini menunjukkan bahawa dana tersebut telah digunakan untuk membiayai dan menyokong projek yang tidak dapat dilaksanakan secara komersil.

Walaupun begitu, CIF diikuti oleh skim pendanaan yang serupa termasuk Dana Pembangunan Industri Kreatif (CIDF) yang memperuntukkan RM100 juta lagi di antara 2011 dan 2014.

Ia juga ditadbir dengan kurang memuaskan dan ditutup secara senyap-senyap tanpa pertanggungjawaban awam kerana banyak wang telah dibazirkan bagi projek-projek palsu.

Dengan pengumuman baru ini, kami mengira bahawa hampir setengah bilion ringgit telah dilaburkan dalam industri kreatif dalam dekad yang lalu dengan sangat sedikit keberkesanannya.

Iskandar Studios (Pinewood), sebagai satu lanskap industri kreatif baru masih tidak digunakan sepenuhnya. Malah, rakan kongsi UK Pinewood telah menarik diri dari pelaburan tersebut pada tahun 2019.

Kami memahami pentingnya pelaburan dalam industri kreatif dan kehidupan yang bergantung pada produksi filem dan televisyen tetapi membazirkan berjuta-juta ringgit pada pengeluaran tidak akan mengatasi masalah asas dan struktural industri skrin.

Tidak ada gunanya memberi bantuan wang kepada produksi kerana ia hanya akan menghasilkan lambakan produk yang kurang kualitinya dan tidak mempunyai nilai komersil.

Ini seterusnya akan menyebabkan industri terus bergantung pada bantuan dan geran kerajaan semata dan tiada insentif pelaburan bagi peningkatan kualiti.

Sekiranya penyiar harus membeli kandungan seperti ini, maka beban kewangan akan beralih kepada mereka. Ini hanya akan mendorong penurunan harga yang lebih rendah dan kesannya, gaji rendah dan kos produksi yang rendah di dalam industri.

Ia tidak dapat menangani masalah yang berterusan seperti kadar gaji dan kondisi yang tidak memuaskan, penguatkuasaan kontrak dan masalah struktural seperti pengabaian penglibatan Sabah dan Sarawak serta hasil pulangan kewangan yang buruk.

Industri skrin Malaysia memerlukan pelaburan kaedah jangka panjang untuk meningkatkan kelestarian, mengembangkan jumlah penonton dan meningkatkan kualiti kandungan.

Ini bermaksud pelaburan dalam penerbitan filem pendek untuk mengembangkan bakat dalam program pendidikan seni untuk memperluas pengetahuan dan apresiasi budaya, dan pelaburan bersasar serta strategik dalam kemahiran dan latihan.

Ini bermaksud memikirkan bagaimana Malaysia dapat menjadi pusat pembiayaan, pengembangan dan produksi usaha sama industri skrin di Asia Tenggara dengan rantaian hubungan seluruh dunia.

Ini bermaksud mengembangkan penceritaan dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dan melalui hubungan rangkaian serantau.

Malaysia berpeluang menggunakan krisis Covid-19 untuk menilai semula industri skrin dan melabur dalam projek lestari yang akan meningkatkan kualiti dan pendapatan.

Sekiranya tidak, bersedialah untuk sedekad lagi tanpa kreativiti.

Diterjemahkan oleh Syamila Abu Bakar.

* Thomas Barker adalah Profesor Madya (Filem dan Televisyen) di Universiti Nottingham Malaysia.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.