Tiada kuota khas jemaah swasta — Tabung Haji

14 JUN — Lembaga Tabung Haji (TH) merujuk kepada dakwaan berlakunya 51 agensi pengelola haji swasta yang mengalami kerugian besar akibat keputusan kerajaan Malaysia menangguh ibadah haji tahun ini.

Pada masa ini, kerajaan Malaysia telah mengawal perjalanan ke luar negara kepada semua rakyat Malaysia ekoran wabak Covid-19 yang melanda dunia.

Wabak ini telah menyebabkan banyak sektor ekonomi dan perniagaan terkesan, bukan hanya kepada mereka yang mengendalikan haji dan umrah sahaja.

Kerajaan Malaysia telah menangguhkan ibadat haji tahun ini kerana mementingkan keselamatan dan kesihatan bakal jemaah khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Penangguhan ini turut melibatkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa yang diuruskan sendiri (visa furada).

Untuk musim haji 1441 Hijrah (2020), TH telah meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 24 syarikat agensi pelancongan sahaja.

Sehingga kini, seramai 2,200 bakal haji telah memilih untuk menunaikan haji menggunakan perkhidmatan pakej PJH yang dilesenkan oleh TH dan anak syarikatnya iaitu TH Travel & Services (THTS).

Tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada mana-mana PJH atau mana-mana agensi pelancongan swasta.

Berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac 2020 untuk menangguhkan sebarang komitmen kewangan bagi musim haji tahun ini, TH turut memaklumkan perkara yang sama kepada semua 24 syarikat PJH untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Maklumbalas yang diterima daripada PJH, mereka semua telah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan manakala urusan penerbangan belum dimuktamadkan.

TH menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dan tidak berurusan dengan pihak tertentu untuk menunaikan haji menggunakan visa diurus sendiri kerana ibadat haji untuk rakyat Malaysia tahun ini telah ditangguhkan oleh kerajaan.

* Kenyataan media Lembaga Tabung Haji.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.