Siasatan polis halang suara Hannah Yeoh — Lim Guan Eng

20 JUN — DAP membantah keras dua tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa baru-baru ini yang membangkitkan persoalan membimbangkan mengenai hak asasi manusia iaitu hak mengeluarkan pendapat dan ruang demokrasi yang semakin mengecil di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pertama, siasatan polis ke atas Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh. Hannah diminta untuk hadir di Bukit Aman untuk disoal siasat mengenai suatu ciapan Twitter di mana beliau menzahirkan kekhuatirannya terhadap masa depan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah kerajaan baharu.

Menurut pihak polis, Hannah disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Bukit Aman juga mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa Hannah akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan dengan sebuah poster yang mengandungi petikan palsu yang menggunakan gambarnya dan telah tular.

Namun demikian, pihak polis sepatutnya mengenal pasti terlebih dahulu pembuat poster petikan palsu tersebut sebelum memanggil Hannah.

Sebagai mantan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan seorang ahli Parlimen, beliau mempunyai segala hak untuk mengeluarkan pandangannya secara umum, lebih lagi apabila beliau sebelum ini melakukan kerja berkenaan isu ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan bersuaranya.

Siasatan terhadapnya adalah percubaan untuk membungkam dan menakutkan beliau daripada bersuara tentang isu ini atau mengkritik kerajaan Perikatan Nasional.

DAP mengecam tindakan seperti ini terhadap Hannah dan menggesa polis untuk menghentikan siasatan ini.

Kami berdiri teguh menyokong dan bersolidariti dengan Hanah. Pihak berkuasa harus konsisten dengan mengambil tindakan terhadap aktivis pro-PN yang menyebarkan penipuan terhadap pemimpin PH, seperti pembohongan mengenai saya dan anak saya yang kononnya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura dengan wang tunai RM2 juta. 

Insiden kedua adalah berkaitan dengan permohonan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk membawa prosiding hina Mahkamah terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan disebabkan komen pembaca di dalam sebuah rencana bertarikh 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”

Telah dilaporkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah pun memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina Mahkamah terhadap Malaysiakini.

Walaupun ada di antara komen-komen yang dibuat adalah bersifat membenci dan tidak patut dimaafkan, Peguam Negara tidak wajar cuba untuk menghukum Malaysiakini atau Steven Gan disebabkan komen-komen tersebut.

Tindakan, sekiranya ada, patut diambil terhadap mereka yang membuat ulasan, dan bukannya Malaysiakini.

Tindakan AG ini meletakkan tanggungjawab yang membebankan ke atas laman sesawang media dengan menjadikan mereka bertanggungjawab ke atas apa yang diucapkan oleh orang lain.

Tindakan seharusnya diambil terhadap mereka yang membuat komen-komen yang tidak bertanggungjawab tersebut, dan bukannya terhadap portal berita yang tidak menyokong pandangan tersebut.

Ini sama seperti menyalahkan kenderaan dalam sebuah kemalangan walaupun pemandu yang bertanggungjawab.

DAP mendesak Peguam Negara supaya menarik balik prosiding terhadap Malaysiakini dan Steven Gan bagi mendukung kebebasan media.

* Lim Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP dan bekas menteri kewangan.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.