Beri pelarian peluang kerja, sekolah — Suhakam

21 JUN — Hari Pelarian Sedunia disambut pada 20 Jun setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang nasib pelarian di seluruh dunia, dengan tema pada tahun ini ialah “Every Action Counts”. 

Ini merupakan peluang bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepayahan yang dilalui oleh komuniti ini dan mencerminkan layanan rakyat Malaysia terhadap pelarian yang berada di negara ini. 

Ia juga merupakan hari bagi rakyat Malaysia mempertimbangkan tentang sumbangan pelarian kepada pembangunan ekonomi negara serta meraikan keberanian dan kesungguhan mereka dalam menghadapi keadaan yang amat sukar.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ingin menzahirkan kekecewaan terutamanya apabila melihat peningkatan ucapan kebencian dan retorik xenofobia sejak beberapa bulan ini berikutan serbuan dan penahanan pelarian dan migran. 

Sikap dan dasar terhadap pelarian dan migran semakin buruk ketika peningkatan pandemik Covid-19 di Malaysia, di mana sebaliknya, sikap belas kasihan dan bertoleransi terhadap mereka yang bergelut untuk meneruskan kehidupan amat diperlukan.

Suhakam ingin menekankan bahawa setiap orang boleh membawa perubahan dan mempunyai peranan dalam mempromosi dan melindungi hak-hak komuniti pelarian. 

Setiap daripada kita mempunyai peranan untuk berhenti berpandangan negatif dan tidak menggalakkan prasangka yang dikatakan berpunca daripada komuniti pelarian. 

Dalam memainkan peranannya, Suhakam akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelarian dan hak kanak-kanak pelarian termasuk menggalakkan kerajaan untuk menerima pakai dasar perlindungan pelarian berjangka masa panjang yang lebih menyeluruh, inklusif dan tidak mendiskriminasi. 

Keutamaan perlu diberikan kepada akses pendidikan kanak-kanak pelarian dan mereka yang lebih berusia dibolehkan untuk mencari pekerjaan bagi menyara kahidupan dan hidup dalam keadaan yang lebih bermaruah. 

Komuniti ini berhak untuk diberikan akses kepada kemudahan kesihatan dan hak kepada pengadilan apabila diperlukan.

Suhakam ingin mengingatkan bahawa prinsip non-refoulment memberikan jaminan bahawa tiada sesiapa patut dihantar pulang ke negara di mana mereka akan menjalani hukuman; yang mana ia boleh dianggap sebagai pematuhan undang-undang antarabangsa. 

Suhakam menggesa kerajaan untuk menghentikan pemintasan dan “penolakan” bot yang membawa muatan pelarian dan menafikan mereka keselamatan kiranya dibenarkan mendarat. 

Kerajaan perlu mengkaji semula dasar yang melibatkan pelarian di Malaysia dan memastikan ianya positif dan konsisten, dan bukannya dasar yang berupa ‘ad-hoc’. 

Suhakam tidak akan berganjak daripada perjuangan untuk menyokong penyertaan kepada Konvensyen Pelarian 1951, dan akan terus mendesak kerajaan untuk menginstitusikannya dalam bentuk Rang Undang-undang mengenai Pelarian yang akan dibentangkan di Parlimen.

Suhakam menggalakkan kerajaan untuk terus bekerjasama dengan negara-negara serantau, Asean dan komuniti antarabangsa seperti UNHCR dan OIC bagi mengenal pasti penyelesaian bagi isu-isu pelarian yang telah lama berlarutan di Asia Tenggara. 

Di peringkat nasional, Suhakam menyeru rakyat Malaysia memberikan komitmen untuk melakukan apa yang terbaik bagi menyokong komuniti pelarian untuk mendapat perlindungan, sokongan dan kehormatan di negara ini, yang akan membawa kepada dunia yang lebih adil, inklusif dan saksama.

* Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meraikan Hari Pelarian Sedunia 20 Jun setiap tahun.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.