Farhash benteng presiden, PKR — Aidi Amin

3 JULAI — Ketika parti sedang menghadapi dugaan, kekosongan kerusi timbalan presiden tidak seharusnya membataskan kelantangan suara reformasi oleh pucuk kepimpinan lain.

Saya hampa melihat media sosial yang penuh dengan kemarahan ahli parti gara-gara kerana saki-baki puak kartel yang ada masih lagi bermaharajalela.

Sikap angkuh mereka bagaikan dibiar sahaja oleh pemimpin yang lain. Walaupun ada beberapa ahli yang sudah dikenakan tindakan disiplin, kita juga hormat nasihat presiden untuk berdamai dan lihat ke arah masa depan parti.

Namun ketandusan pemimpin yang berani bersuara menimbulkan persoalan jika wujud sebuah lagi puak yang mempunyai agenda lain dalam mengisi vakum kepimpinan tinggi.

Tidak perlu menamakan sesiapa kerana sudah kelihatan ada mereka yang cuba melobi agar si polan kembali untuk mengisi kerusi timbalan presiden. Ini tidak relevan kerana di manakah beliau ketika parti kita menghadapi krisis?

Mengapakah beliau dan sekutunya tidak bersuara ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melakukan pengkhianatan terhadap parti dan mandat rakyat?

Sejujurnya sebarang cadangan untuk mengisi kekosongan kerusi timbalan presiden pada waktu ini adalah bahaya kerana parti harus dirapatkan saf dahulu di semua peringkat.

Parti memerlukan pemimpin yang tidak mempunyai agenda tersendiri dan hanya setia kepada Presiden demi membawa agenda reformasi yang telah sekian lama tertangguh.

Ramai ahli sedia maklum bahawa ada seorang insan yang sering dihentam dan disalah anggap apabila menegakkan kebenaran.

Beliau tidak pernah mengejar kemegahan politik, malah jasanya terhadap parti dalam membersihkan puak kartel dan sifat kepura-puraan dalam Pakatan Harapan tidak pernah diangkat.

Parti kita memerlukan lebih pemimpin seperti beliau di setiap cabang dan bukannya saja di MPP.

Pemimpin bernama Farhash Wafa Salvador harus diteladani dalam mempertahankan presiden dan PKR.

* Aidi Amin adalah ahli PKR.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.