Denda pelitup muka cukup RM250 — Lim Guan Eng

16 OGOS — Kesemua 42 ahli Parlimen DAP akan menyokong petisyen yang disyorkan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi untuk menurunkan denda RM1,000 kepada RM250 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka. 

Penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan secara sama rata ke atas menteri dan bukan hanya ke atas rakyat biasa sahaja. Kadar denda RM1,000 adalah terlalu tinggi dan sukar ditanggung oleh golongan kurang berada.

RM250 disyorkan berikutan Menteri Luar Datuk Seri Hishamudin Hussein yang ditangkap menghisap vape dalam persidangan Dewan Rakyat dan didenda RM250. 

Beliau sudah meminta maaf dan membayar kompaun RM250. Sekiranya seorang menteri yang kaya hanya didenda RM250, mengapa rakyat biasa yang hidup susah tidak boleh didenda jumlah sama sebanyak RM250 kerana tidak memakai pelitup muka?

Petisyen tersebut menyatakan bahawa denda RM1,000 adalah bersamaan dengan 83 peratus daripada gaji minima di Malaysia iaitu RM1,200 sebulan. 

Berbanding keadaan di Australia di mana denda untuk kesalahan yang sama ialah AUD200, yakni hanya 6.7 peratus daripada gaji minima di negara tersebut, iaitu AUD3015 sebulan. Jelas di sini, RM1,000 adalah terlalu tinggi bagi golongan miskin.

Saya sedar dan setuju dengan niat kerajaan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan awam daripada penularan wabak Covid-19 , tetapi penguatkuasaan dan denda harus berpada-pada terutamanya bagi golongan B40. 

Lebih-lebih lagi apabila ada banyak gambar yang menunjukkan menteri kanan tanpa pelitup muka yang tidak dihukum denda dan ini menimbulkan pandangan serong bahawa wujudnya pendakwaan berpilih. Kepincangan ini harus dibetulkan segera.

Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional yang menyokong petisyen ini harus dipuji kerana mengenepika perselisihan politik demi kepentingan rakyat dan negara. 

Oleh demikian kerajaan dipohon segera menurunkan denda RM1,000 untuk kesalahan tidak memakai pelitup muka kepada RM250.

* Lim Guan Eng adalah bekas menteri kewangan dan setiausaha agung DAP.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.