Muslimat PAS sokong lagi budak kahwin? — Yuslaini Azmi

19 OGOS — Saya amat tertarik untuk mengulas isu peningkatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang menunjukkan peningkatan ketara sejak akhir-akhir ini.

Isu yang dibangkitkan oleh bekas ketua Wanita PAS ini pernah menjadi perdebatan hangat di kalangan ahli Parlimen.

Malah isu ini sering diberi penekanan oleh Hannah Yeoh selaku pemangku jawatan di kementerian tersebut.

Antara usaha Yeoh memerangi golongan pesalah jenayah seksual kanak-kanak adalah dengan memperkenalkan sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK).

Malah, Datuk Seri Azalina Othman Said juga antara wakil rakyat yang turut berusaha memperjuangkan nasib kanak-kanak yang tidak bernasib baik ini.

Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 diluluskan di Parlimen ketika Azalina menjadi menteri undang-undang.

Beliau juga pernah menyindir Siti Zailah melalui laman sosialnya di Twitter: “Jangan benarkan pemangsa untuk gunakan alasan perkahwinan sebagai cara untuk mengelak atau membenarkan ekploitasi seksual.”

Menurut Siti Zailah antara program yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak itu adalah langkah advokasi seperti kempen keselamatan kanak-kanak di sekolah (Sahabat Bijak), penggubalan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta penalti yang berat sehingga 30 tahun hukuman penjara dan sebat.

Namun begitu, Siti Zailah mungkin terlupa tentang pendiriannya berkaitan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur di mana pendirian tersebut menjurus kepada permasalahan ini.

Masalah perkahwinan bawah umur

Saya menyokong usaha baik Siti Zailah, namun beliau sepatutnya menyedari bahawa salah satu punca utama terjadinya isu jenayah seksual kanak-kanak ini adalah disebabkan perkahwinan bawah umur.

Jika benar Siti Zailah serius dalam mengatasi masalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak beliau sepatutnya menangani terus isu akarnya.

Adakah beliau menyedari bahawa mana-mana pasangan yang berkahwin di bawah umur, tidak sekalipun diberikan pendedahan dalam kursus ilmu kekeluargaan waima program pendidikan keselamatan keluarga dan anak sehingga menjurus kepada permasalahan ini? Jadi apakah pendirian sebenar beliau dalam isu perkahwinan bawah umur?

Sebelum ini juga Wanita MCA turut menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengharamkan perkahwinan bawah umur bagi melindungi kebajikan dan hak asasi kanak-kanak.

Saya tidak mempunyai masalah dengan pendirian masing-masing berkenaan isu perkahwinan bawah umur kerana isu ini agak subjektif dan memerlukan perbincangan secara kolektif daripada pelbagai pihak.

Namun, ia juga perlu diteliti secara terperinci kerana pada akhirnya, ia menjurus kepada jenayah seksual terhadap kanak-kanak, kadar perceraian yang semakin tinggi, isu keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Malaysia antara negara yang menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), keputusan yang dibuat berkenaan isu kanak-kanak haruslah berdasarkan kebajikan dan kepentingan mereka.

Tambahan pula beberapa peruntukan yang menyebut suatu jenayah dalam perkahwinan bawah umur antaranya Seksyen 611 Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan Kanun Keseksaan. Oleh itu, kerajaan harus melarang perkahwinan kanak-kanak tanpa mengira kaum atau agama.

Walaupun terdapat beberapa wakil rakyat yang menyuarakan isu perkahwinan bawah umur ini namun sehingga sekarang kita masih belum tahu apakah pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) tentang perkahwinan bawah umur?

Adakah Siti Zailah masih berkeras dengan pendiriannya menghalalkan perkahwinan bawah umur walaupun menyedari ia akan menyebabkan kepada permasalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak?

* Yuslaini Azmi adalah Ketua Biro Wanita AMK Terengganu.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.