Parti belia pinggir rakyat — Shahrizul Muiz

7 SEPTEMBER — Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat dan ianya merupakan tanggungjawab bagi kerajaan yang memerintah dalam memastikan kebajikan bagi setiap lapisan masyarakat harus dijaga tanpa tiada siapa rasa terpinggir.

Sejak beberapa hari ini gempar dengan berita mengenai parti anak muda yang bakal ditubuhkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebagai seorang anak muda dan mewakili pertubuhan Generasi Muda saya berpendapat bahawa penubuhan parti Muda adalah tidak berapa sesuai berdasarkan lanskap dan demografik politik buat masa kini.

Malaysia sudah dibanjiri dengan banyak parti politik yang berbagai-bagai sehingga mengelirukan rakyat Malaysia (who’s in who’s side) serta masing-masing membawa agenda yang tersendiri dan mempunyai sayap anak muda juga buat masa ini.

Sebaiknya anak muda boleh memain peranan mereka di dalam parti yang sedia ada melalui sayap anak muda parti masing-masing.

Bagaimanapun, sememangnya saya amat kagum dengan prinsip dan pegangan Syed Saddiq untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menjatuhkan mandat rakyat.

Tetapi pada masa yang sama, saya berpendapat juga dengan penubuhan parti yang baru ini hanya akan memecahbelahkan di antara orang muda dan orang tua.

Kita akan sentiasa hidup dalam keadaan segregasi di antara tua dan muda, apa yang ingin diuntungkan dengan segregasi pecah-belah sebegini?

Selain itu, anak muda juga akan mula membuat penilaian terhadap penghargaan dan jasa yang dilakukan oleh orang tua, ‘itulah bila orang tua pegang jadi macam inilah’, ‘cara kerja orang tua ini outdated’.

Penilaian ini akan sering bangkit pada setiap masa, tambahan pula dengan adanya penglibatan anak muda ‘elit’ yang pernah menjawat pelbagai jawatan atau mana-mana ‘ikon’ tidak bermakna parti itu akan berjaya.

Profil diri seseorang itu tidak perlu dalam membentuk masa depan negara, tetapi polisi yang ingin diketengahkan merupakan faktor utama dalam memastikan masa depan sesebuah negara itu maju.

Bagaimana pula dengan pelan masa hadapan parti ini? Berapakah had umur bagi penglibatan diri dalam parti ini?

Maknanya parti ini sudah menetapkan suatu had umur bagi seseorang dalam kareer politik mereka iaitu sehingga mereka mencecah umur maksima seorang belia.

Apa yang individu itu akan lakukan setelah mereka melebihi had umur untuk menjadi ahli parti atau wakil rakyat (sekiranya mereka menang) mewakili parti tersebut, adakah mereka hanya akan bersara dari bidang politik terus atau bagaimana?

Apabila seseorang mengetahui bahawa kareer mereka dalam politik akan tamat setelah mencecah umur maksima belia maka potensi mereka untuk terjerumus dalam rasuah juga amat tinggi bagi memastikan kareer mereka sentiasa terjamin walaupun sudah hilang kelayakan bertanding di bawah tiket Muda atau mereka akan lompat ke parti lain bagi meneruskan kareer politik mereka?

Ya, anak muda adalah penting kerana mereka mampu menawarkan idea yang bernas, tetapi tidak semua ranum itu rosak. Kalau yang mentah pun rosak, perlu dibuang juga.

Selepas itu bagaimana dengan dana atau peruntukkan bagi menubuhkan parti ini? Adakah parti ini akan mengharapkan dana dari veteran atau tauke selepas itu diakhiri dengan tauke itu menjadi penentu bagi parti ini?

Parti Anak Muda perlu mengadakan suatu kajian terlebih dahulu, ya memang ramai sokong anak muda, tetapi adakah orang ramai itu akan setuju dengan penubuhan suatu parti anak muda dan membiarkan anak muda untuk mentadbir kerajaan tanpa campur tangan orang berpengalaman juga?

Rakyat Malaysia juga terdiri daripada pelbagai had umur, daripada bayi hingga warga emas, adakah Parti Anak Muda ini hanya mahu membela orang-orang muda sahaja? Bagaimana pula dengan bukan lagi belia?

Sekiranya mereka ingin juga membela warga emas atau golongan selain dari belia maka kenapa perlu ada suatu parti khususnya untuk anak muda sahaja? Persepsi sebegini hanya akan membuat golongan selain belia rasa terpinggir.

Maka nasihat saya tidak perlu lagi kita bazirkan tenaga, wang atau politik pemecahbelahan yang mengelirukan rakyat lagi.

Sekiranya Syed Saddiq ingin membuat perubahan sebaiknya beliau mulakan dengan tubuh sebuah NGO dari parti politik berasaskan belia bagi memudahkan jalan beliau.

* Muhammad Shahrizul Muiz adalah koordinator Generasi Muda Pulau Pinang.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan