Siapa kata Melayu malas? — Yap Wei Cheng

8 SEPTEMBER — Sering didengari bahawa Melayu ini bangsa yang malas, tetapi seberapa jauh adakah pandangan ini tepat?

Jika Melayu ini malas, tidak adanya keagungan kota Melaka di bawah pemerintahan Parameswara yang beratus tahun dahulu dan tidak adanya pelabuhan pusat antarabangsa yang berjaya seperti pelabuhan Melaka pada masa itu.

Jika memang Melayu ini malas tidak adanya mak cik yang menjual kuih-muih tengah hari di tepi jalan yang panas mengelabar semata-mata hendak mencari rezeki.

Untuk ulasan yang selanjutnya boleh ikut Ulasan Apek Cina dan Kata Tun Daim untuk membuktikan bahawa Melayu bukanlah bangsa yang malas.

Walaupun jelas bahawa terbuktinya Melayu ini bukan bangsa yang malas, mengapakah istilah ini sering digunakan dalam medan politik oleh sesetengah politikus.

Mari kita ceraikan satu persatu taktik ini yang membawa kehancuran dan perpecahan kepada negara yang berbilang bangsa dan agama ini.

Perenggan-perenggan seterusnya, akan dibongkarkan mitos istilah “Melayu Malas” ini dengan kebenaran yang sebenar.

Yang pertama, penggunaan istah “Melayu Malas” merupakan teknik retorik untuk memperdayakan Melayu sebagai bangsa yang malas.

Istilah ini dapat didengari semasa Kongres Maruah Melayu dan usahlah saya menyebut siapa orangnya.

Apabila, Melayu menerima dan percaya bahawa mereka ini adalah malas sebagai hakikat, maka mereka akan mula bergantung kepada orang lain iaitu elit Melayu/ahli-ahli politik Melayu untuk melindungi mereka yang dilemahkan ini.

Tetapi apakah faedah yang diperolehi oleh politikus ini? Yang tentunya faedah yang hendak diperolehi oleh politikus adalah kawalan yang mutlak terhadap kaum Melayu mereka.

Bak kata David Icke, “The greatest form of control is through dependency.” (Bentuk kawalan yang paling berkuasa adalah melalui kebergantungan.)

Disebabkan normalisasi istilah “Melayu Malas” ini dan penerimaan ia sebagai fakta yang sahih, orang Melayu mula bergantung kepada elitis dan dikawal secara langsung dan efektif.

Yang kedua, apabila Melayu dikawal oleh politikus bermulalah perbahasan bahawa kedudukan orang Melayu ini diancam dan dicabar oleh bukan bumiputera, bahkan Tanah Air sendiri dirampas Cina dan India.

Kaum Cina digambarkan sebagai Yahudi elit yang mengawal ekonomi secara keseluruhan.

Kaum India pulak dianggap menguasai kerjaya profesional seperti bidang guaman dan perubatan.

Manakala Melayu tidak mempunyai apa-apa dan kehilangan segalanya. Tidak hairanlah jika adanya pertelingkahan antara kaum sesama sendiri dan tidak hairanlah berlakunya tragedi 13 Mei yang menyedihkan. Segala ini bermotif untuk menyusul emosi ketakutan terhadap kaum Melayu oleh politikus-politikus.

Setelah politikus menanam emosi ketakutan ini terhadap kaum Melayu, mereka mula berpidato dengan pelbagai janji-janji angin yang menggoncang semangat Melayu untuk lawan balik.

Politikus ini bermula untuk membuat janji bahawa mereka akan mengembalikan keagungan Melayu dan terus melindungi Melayu daripada ancaman luar.

Mereka menggambarkan diri sebagai wira yang akan menghapuskan segala keburukan yang seadanya di muka bumi Malaysia ini.

Tetapi tahukah anda sebenarnya ada motif yang utama di sebalik drama yang menarik ini.

Tahukah anda, sebenarnya kamu dipergunakan dalam medan permainan politikus ini?

Tidak kiralah adakah kamu Melayu, Cina atau India, kalau pernah kamu percaya bahawa Melayu adalah bangsa yang malas kamu telah dipergunakan.

Apakah motif sebenar politikus yang menggunakan istilah “Melayu Malas” ini anda bertanyakan?

Saya rasa sudah jelas sekali bahawa dengan semua drama yang dihuraikan di atas adalah bermotif untuk mendapatkan undian dan memastikan kedudukan para elitis Melayu mereka sendiri terlindung.

Mereka memaparkan sebuah cerita di mana Melayu ini malas, dan kaum Melayu ini perlu perlindungan daripada elitis Melayu.

Kalau tidak habislah kaum Melayu ini. Elitis Melayu pula berlakon menjadi wira untuk melindungi kaum Melayu dengan mengisyriharkan permusuhan dan lawan balik kaum lain supaya kaum Melayu akan terus bertahan.

Konsep politik yang diggunakan adalah konsep kolonial British “Divide and Conquer” yang lama wujud sebelum kemerdekaan lagi untuk mengawal minda dan emosi rakyat Malaysia.

Sejak kemerdekaan, sudah 60 tahun Malaysia dijajah oleh sebilangan elitis/politikus ini.

Mereka berjaya melindungi kedudukan dan kuasa mereka dengan baik sehingga rasuah beratus-ratus billion dari tangan rakyat tanpa adanya tindakan ke atas pengkhianat-pengkhianat seperti mereka ini.

Hebat mereka menguasai kita sehingga kita diperdayakan dalam drama realiti yang membingungkan ini.

Kesetanan mereka yang hampir melelapkan kita semua dalam permusuhan dan permusuhan kaum, untuk membenci satu sama lain, untuk lawan satu sama lain, untuk menentang satu sama lain hingga tiada kehabisannya.

Sekaranglah masanya kita menghentikan penggunaan Istillah “Melayu Malas” dan kurangkan kebergantungan terhadap orang lain.

Sekaranglah masanya kita pulihkan diri daripada luka dan calar yang telah lama kekal dihati kita. Masanya untuk menghentikan kebencian dan perang saudara ini.

Ada banyak cabaran yang Malaysia perlu harungi seperti jurang ekonomi/pendapatan antara kaum dan tidak akan sesekali saya menganggap masalah ini tidak wujud.

Sebaliknya untuk menyelesaikan masalah yang besar ini yang pertama kita perlu tahu tanpa bersatu kita roboh dan hanya bersatu kita teguh.

Kita kena sedar dan mencari kebenaran supaya tidak terpedaya dengan mereka yang gila kuasa.

Kepada anak-anak Malaysia yang dikasihi, kita jaga kita. Sekian terima kasih. Untuk Malaysia. Untuk Semua.

* Yap Wei Cheng adalah pembaca Malay Mail.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan