PRN Sabah tidak guna roket — Lim Guan Eng

9 SEPTEMBER — Pilihan raya negeri Sabah yang akan datang adalah satu penanda aras penting untuk menentukan masa depan Sabah sama ada akan ditadbir oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat seperti yang diperjuangkan oleh Ketua Menteri sementara Datuk Seri Shafie Apdal, atau oleh golongan oportunis politik yang dipengaruhi politik wang. Implikasi pilihan raya ini sangat besar kepada Malaysia.

Kemenangan untuk Shafie akan menjadi penolakan jelas politik pengkhianatan, di mana mandat pengundi pada pilihan raya 2018 boleh dikhianati, dibeli dan ditidakkan dengan sewenangnya.

Politik pengkhianatan telah mewujudkan Kerajaan Persekutuan yang tidak dipilih rakyat, yang tanpa segan silu menyokong dasar eksklusif (exclusivist) dan ekstremis bangsa dan agama.

Rakyat Sabah dan Malaysia mengharapkan kemenangan yang meyakinkan terhadap pengkhianatan politik yang merampas mandat demokratik rakyat, menentang ideologi perkauman ekstrem yang tiada tempat di Malaysia yang aman berbilang kaum dan menolak pelaksanaan undang-undang “antara dua darjat” dan ketidakadilan sosial, di mana aduan tentang liputan internet yang lemah di kawasan luar bandar dibalas dengan pembulian.

Sebaliknya, dalam jangka masa dua tahun sahaja, pentadbiran Shafie telah menyokong pertumbuhan ekonomi, mengagihkan semula hak milik tanah 999 tahun kepada rakyat, memupuk keharmonian kaum, melindungi hak pribumi serta hak etnik dan agama minoriti.

Yang paling penting, Shafie menunjukkan kepemimpinan yang bermaruah dengan enggan menggadai hak orang Sabah kepada politik wang.

Melalui tindakan segera membubarkan DUN Sabah untuk mematahkan usaha khianat dan tidak bermaruah untuk membeli kerajaan negeri, Shafie menunjukkan kepemimpinan yang tegas demi mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Demi memulihkan konsep asas bahawa “kuasa rakyat” lebih besar daripada “wang adalah raja” (cash is king), DAP memutuskan untuk menggunakan logo bersama seperti yang diminta oleh jawatankuasa negeri DAP Sabah. Ini adalah keputusan yang sukar bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti.

Demi menghormati kehendak Jawatankuasa Negeri DAP Sabah, ahli dan penyokong kami di Sabah, saya dengan ini mengumumkan bahawa semua calon DAP Sabah akan bertanding di dalam pilihan raya negeri di bawah panji Parti Warisan Sabah.

Pertaruhan politik terlalu tinggi. Kita tidak boleh kalah di dalam pilihan raya negeri Sabah. Hanya pakatan yang bersatu dapat memperoleh kemenangan besar bagi kita dan sekutu dalam Warisan Plus untuk menghantar satu mesej yang jelas bahawa:

1) Sabah tidak menerima pengkhianatan politik. Kita menolak wakil rakyat yang boleh dibeli dengan wang, kita mesti menyokong wakil rakyat yang akauntabel kepada pengundi.

2) Rakyat Sabah mahukan sebuah kerajaan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Hanya kerajaan yang diundi oleh rakyat yang dapat berkhidmat, membantu dan melindungi rakyat dan hak mereka.

Kerajaan yang terdiri daripada “katak” politik yang dibeli dengan wang hanya akan mengkhianati dan merampas hak dan kepentingan rakyat.

3) Sabah kini menjadi harapan bagi Malaysia di mana kerajaan yang dipilih dapat menjadi pelindung rakyat, pembela demokrasi dan keadilan, benteng melawan rasuah dan penjaga masa depan anak-anak kita.

Kami yakin bahawa semangat dan nilai-nilai DAP akan terus menjadi prinsip yang membimbing semua calon kami ketika kami berganding bahu dengan sekutu di Warisan Plus untuk memenangi pilihan raya ini bersama-sama.

“Sabah Memimpin Malaysia”

* Lim Guan Eng adalah bekas menteri kewangan dan setiausaha agung DAP.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.