Kuarantin jejas pengundi balik Sabah — Teresa Kok

13 SEPTEMBER — Saya amat prihatin terhadap kenyataan yang dibuat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa Kementerian Kesihatan bercadang mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas menjalankan urusan pilihan raya negeri Sabah.

Walaupun kenyataan ini kemudian dinafikan oleh Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi ia membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional ingin menggunakan wabak Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang pengundi membuang undi di Sabah.

Mengikut kenyataan Kementerian Kesihatan 12 September 2020, 293 kes dikesan positif Covid-19 (43 kes baharu), manakala 88 kes dikesan positif Covid-19 (1 kes baharu). Kes-kes aktif ini diletak di bawah Kluster Benteng LD.

Ini menunjukkan kes wabak Covid-19 yang meningkat di Sabah hanya tertumpu di kluster yang berkaitan pusat tahanan Pati di Tawau dan Lahad Datu sahaja, bukan seluruh Sabah.

Jadi adalah tidak wajar bagi Dr Adham untuk mencadangkan bahawa semua orang pulang ke Semenanjung selepas membuang undi dikehendaki menjalani kuarantin 14 hari.

Cadangan ini bukan sahaja menjejaskan pengundi Sabah di Semenanjung untuk pulang membuang undi tetapi ia juga akan menjejaskan kegiatan ekonomi dan juga pegawai kerajaan yang harus menjalankan urusan kerajaan di antara Sabah dan Semenanjung. Implikasi dasar ini memang sangat serius.

Saya ingin menyeru pihak kerajaan, khususnya anggota jemaah menteri untuk memberi maklumat yang terperinci dan gambaran yang tepat tentang tempat yang berlakunya wabak covid-19, supaya urusan pilihan raya tidak akan terjejas.

* Teresa Kok adalah bekas menteri industri utama dan timbalan setiausaha agung DAP.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan