Tolak kleptokrat bentuk kerajaan — Pemuda Amanah KL

25 SEPTEMBER — Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong sebarang usaha untuk mengembalikan semula mandat yang dijual oleh ahli-ahli politik elit membelakangkan amanah rakyat.

Usaha memulangkan mandat rakyat ini adalah langkah pertama dalam memulihkan demokrasi di negara kita.

Namun begitu, maruah rakyat hanya boleh ditebus melalui kaedah bersih, berintegriti dan penuh kebijaksanaan agar prinsip yang dipertahankan sekian lama kekal utuh.

Dalam kegembiraan meraikan usaha yang tampak makin membuahkan hasil, kami tegas dengan pendirian bahawa tiada ruang harus dibuka untuk berunding dengan rejim kleptokrat terutamanya individu yang masih dalam perbicaraan kes mahkamah apatah lagi yang sudah disabitkan bersalah seperti Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Malah, Pakatan Harapan juga harus menolak sokongan daripada mana-mana ahli Parlimen yang bersekongkol dan cuba menjaga kepentingan individu yang terpalit kleptokrasi seperti di atas. Tiada kompromi dalam soal prinsip dan integriti.

Kami menyeru pimpinan Pakatan Harapan untuk duduk bersama dan memperhalusi langkah-langkah strategik dalam membentuk semula kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat dan bukan atas kepentingan politik individu tertentu.

* Kenyataan bersama Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai Zulhafiz Zulkifli, ketua pemuda Batu Anhdeer Supardy Lazuardi, ketua pemuda Kepong Mohamed Noor Hafizzuddin Mohamed Razian, Ketua Pemuda Bandar Tun Razak Mohd Nur Fadhil Ya’cob dan Ketua Pemuda Bukit Bintang Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan