Fatwa tanpa tabayyun — Hizbut Tahrir

30 SEPTEMBER — Kami merujuk kepada warta kerajaan negeri Johor bertarikh 15 Julai 2019 mengenai fatwa ke atas Hizbut Tahrir yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Kami telah mendapati buat pertama kalinya fatwa tersebut telah disiarkan sepenuhnya dalam bentuk brosur dan diedarkan kepada orang ramai di Dewan Bandar Putra Kulai sempena Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada 12 September.

Kami telah membaca fatwa tersebut dan kami dengan ini menyatakan bantahan sekeras-kerasnya ke atas fatwa tersebut yang sarat dengan fitnah, pembohongan, pemesongan fakta dan kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir.

Walaupun kami akui terdapat sedikit kebenaran pada sebahagian daripada fatwa tersebut, namun ia telah diungkapkan dalam bentuk negatif yang boleh menimbulkan fitnah ke atas Hizbut Tahrir.

Kami sungguh kesal kerana pihak tuan langsung tidak memanggil kami untuk bermuzakarah terlebih dahulu atau mendengar pendapat kami sendiri mengenai elemen-elemen yang terdapat di dalam fatwa tersebut, sebelum mengeluarkan fatwa tersebut ke atas kami.

Ini merupakan suatu hal yang sesungguhnya telah menyalahi hukum syarak dalam proses pengeluaran sesebuah fatwa, kerana pihak tuan telah mengeluarkan fatwa tanpa mengetahui atau mengkaji manath (fakta) dan tanpa tabayyun mengenai apa yang ingin difatwakan.

Kami yakin yang pihak tuan telah pun maklum mengenai mesyuarat yang telah berlangsung di antara kami dengan Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada 13 Januari 2019 di mana kami menjelaskan kesemua persoalan yang dibangkitkan oleh Bahagian R&D dan mereka telah menerimanya dengan baik.

Malangnya sebahagian daripada persoalan tersebut telah dimasukkan ke dalam fatwa ke atas kami dalam bentuk fitnah dan pembohongan oleh pihak tuan.

Antara tuduhan berat yang pihak tuan lontarkan dalam fatwa tersebut ialah bahawa Hizbut Tahrir mengancam keharmonian dan keselamatan negara. La haula wa la quwwata illa billah.

Tuduhan ini sungguh tidak berasas dan terzahir niat jahat pihak tuan dalam melontarkannya.

Hizbut Tahrir bergerak di seluruh dunia sejak tahun 1953 dan mula masuk serta bergerak di Malaysia sejak akhir tahun 1990-an, tidak pernah ada satu bukti pun yang Hizbut Tahrir telah mengancam keselamatan mana-mana negara, termasuk Malaysia.

Pihak polis dan tentera selaku dua badan yang menjaga keselamatan negara, mereka sendiri pun tidak pernah mengesahkan bahawa Hizbut Tahrir mengancam keharmonian atau keselamatan, sebaliknya mereka mengakui bahawa dakwah dan segala aktiviti Hizbut Tahrir adalah secara damai.

Jadi, bagaimana mungkin pihak tuan boleh melontarkan tuduhan seberat itu ke atas Hizbut Tahrir?

Hizbut Tahrir merupakan sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bergerak aktif di lebih daripada 40 buah negara, dengan jutaan ahli dan penyokong, termasuklah daripada kalangan alim ulama dan cendekiawan.

Hizbut Tahrir berdakwah siang dan malam untuk mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah, yang merupakan kewajipan ke atas kita semua.

Berdasarkan akal yang waras, adakah mungkin jutaan manusia, termasuk alim ulama dan cendekiawan di pelbagai negara di dunia telah menjadi pengikut atau pendukung Hizbut Tahrir, jika benar Hizbut Tahrir adalah sebagaimana yang pihak tuan fitnahkan?

Dalam dakwahnya, Hizbut Tahrir meneladani thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dalam menegakkan Daulah Islam di Madinah, sebuah jalan dakwah secara politik dan intelektual, tanpa kekerasan, dan Hizbut Tahrir tidak akan menyimpang walau seutas rambut pun daripada thariqah dakwah Rasulullah.

Kami dengan ini menuntut agar pihak tuan menarik balik fatwa tersebut dan kami sentiasa bersedia untuk bermuzakarah, berdialog atau berdebat dengan pihak tuan dalam rangka menjernihkan keadaan dan menerangkan kebenaran.

Kami belum berhasrat memberikan jawapan satu persatu kepada pihak tuan berhubung segala elemen yang terkandung dalam fatwa tersebut, tetapi kami mengharapkan adanya pertemuan yang baik dan penuh ukhuwwah dengan pihak tuan untuk kami memberikan jawapan dan penjelasan.

Sungguh merupakan suatu kezaliman yang jelas lagi nyata apabila kami dituduh dengan pelbagai fitnah dan tohmahan tanpa kami dipanggil untuk menjelaskannya.

Kami ulangi tuntutan kami agar pihak tuan menarik balik fatwa tersebut serta merta dan kami sentiasa bersedia memaafkan pihak tuan dengan hati yang terbuka kerana sifat mulia seseorang Muslim itu ialah memohon maaf dan memberi kemaafan kepada saudaranya.

Kami seterusnya menasihati pihak tuan agar memohon keampunan kepada Allah atas segala fitnah, pembohongan, pemesongan fakta dan kekeliruan yang pihak tuan lontarkan ke atas kami di dalam fatwa tersebut.

Kami berharap dalam masa sebulan daripada sekarang, kami akan mendengar berita baik bahawa pihak tuan menarik balik fatwa tersebut, agar fitnah ini tidak berpanjangan, yang akan pasti merugikan pelakunya di dunia, apatah lagi di akhirat.

Ingatlah bahawa setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kepada-Nya kita berserah dan kepada-Nya kita kembali.

* Hizbut Tahrir merupakan sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bergerak aktif di lebih daripada 40 buah negara.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.  

Artikel Berkaitan