Warden tuntut elaun setimpal — Harry Tan

30 SEPTEMBER — Isu atau masalah warden sering muncul di dada akhbar sejak 2019 dan sering menjadi tajuk utama surat khabar.

Isu hangat yang menjadi perbualan ketika itu, adalah kes yang berlaku di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Terengganu yang mana Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar membayar tuntutan RM616,634.20 kepada seorang bekas pelajar sekolah itu yang menjadi mangsa buli empat tahun lalu.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) yakin semua masyarakat sedia maklum berkaitan kes tersebut. Isu terkini, Kenapa warden sukar dilantik dan kenapa semua guru menolak jika dilantik menjadi warden?

Warden sekolah merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga hal-hal berkaitan murid yang tinggal di asrama.

Tidak kira masalah disiplin atau perihal kesihatan, warden orang pertama yang perlu bertindak.

Ibarat seorang bapa kepada seluruh penghuni asrama. Tugas warden sekolah sangat berat dan perlu banyak kesabaran.

Tugasan yang diarahkan kepada mereka tanpa mengira masa sehingga keluarga sendiri pun terabai.

Apabila murid sekolah mula bersekolah semula dalam tempoh Perintah Kawalan

Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dilaksanakan kini, mereka tidak dibenarkan balik ke rumah walaupun dalam jangka masa pendek.

Murid lelaki yang tinggal di asrama juga tidak dibenarkan pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Dalam pada itu, warden yang beragama Islam juga kekadang lewat untuk menunaikan solat Subuh dan begitu juga dengan solat Jumaat yang mana ada sesetengah sekolah perlu bergilir-gilir setiap minggu untuk menunaikan solat Jumaat.

Susulan norma baharu ini juga, warden terikat dengan arahan terbaru yang dikeluarkan semasa tempoh pelaksanaan PKPP dan warden juga tidak dibenarkan cuti atau ke mana-mana dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, ibu bapa juga tidak dibenarkan membawa murid untuk ‘outing’ walaupun sekejap.

Ini bermakna warden yang terpaksa menguruskan murid yang tinggal di asrama setiap hari walaupun ketika cuti Sabtu dan Ahad.

Tahap keselamatan dan kesihatan yang perlu warden urus dan mengambil berat adalah sangat tinggi serta membebankan mereka.

Bagaimanapun, mereka tetap menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh hemah dan bertanggungjawab.

Berdasarkan beberapa blog guru, NUTP dapati tugas warden terlalu berat untuk

dipikul. Warden perlu memastikan murid berada dalam keadaan teratur dan berdisiplin ketika di asrama serta memastikan tiada berlakunya masalah buli di kalangan murid, membuat huru hara, bergaduh, menghisap rokok dan sebagainya.

Dalam pada itu, warden mudah terdedah dengan pelbagai risiko antara kemungkinannya risiko disaman oleh ibu bapa.

Warden menjalankan tugas memantau murid sebelum Subuh lagi bagi memastikan

mereka bersarapan, memeriksa tahap kesihatan serta memastikan mereka hadir ke kelas masing-masing.

Pada waktu tengah hari pula, warden perlu memastikan murid makan tengahari di dewan makan atau tempat rehat yang disediakan kepada murid.

Warden juga perlu memastikan murid tidak naik ke bilik asrama agar mereka tidak ponteng kelas.

Manakala di sebelah malam pula, warden akan membuat laporan bilangan murid bagi setiap bilik asrama serta memaklumkan kesihatan murid.

Pada lewat malam, warden perlu memastikan murid tidur tepat pada masanya supaya mereka mendapat rehat yang secukupnya agar PdPC keesokan harinya dapat berjalan dengan lancar.

Tiada tetapan masa yang ditetapkan bagi warden melaksanakan tugasnya. Sekiranya murid sakit pada jam lewat tengah malam atau awal pagi warden dipertanggungjawabkan membawa pelajar ke klinik atau hospital.

Skop tugas warden, jika dihitung waktu bertugas mereka adalah melebihi 18 jam sehari. Ini berbeza bagi guru biasa mana mula berkerja dari jam 7 pagi hingga 4 petang.

Warden bukan sahaja menjalankan tugas memantau murid tetapi terpaksa juga menjalankan kerja hakiki mereka iaitu mengajar.

Persoalannya, adakah seorang warden boleh menjadi guru yang efektif atau menjadi warden yang baik, jika kita melihat kepada skop tugas mereka yang kekurangan masa rehat dan tidur yang tidak mencukupi tersebut? Dalam pada itu, warden juga tiada masa beriadah bersama keluarga.

Bayaran elaun warden yang diterima sebanyak RM240 bukanlah merupakan satu

elaun yang boleh dianggap istimewa malah tidak setimpal dengan tugas yang perlu mereka laksanakannya.

Elaun yang diterima oleh warden boleh dikatakan tidak bberbaloi dengan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan malah amat membebankan.

Dalam pada itu, jika gred gaji warden lebih tinggi, bermakna elaun yang diterima lagi tidak berbaloi. Oleh disebabkan itulah, kebanyakan guru menolak menjadi warden.

Guru yang memegang jawatan warden akan disediakan dengan kemudahan rumah/kuarters kerana memudahkan mereka menjalankan tugas memantau murid/pelajar dan sekiranya ada murid/pelajar mengalami masalah kesihatan mudah ditangani dengan segera.

Namun perlu disedari, rumah/kuarters yang disediakan tersebut didiami oleh pelbagai bilangan guru dan silih berganti.

Terdapat juga rumah/kuarters yang disediakan kepada warden terlalu usang dan perlu diperbaiki.

Dalam urusan untuk membaiki rumah/kuarters tersebut juga, mengambil masa yang terlalu lama kerana disebabkan peruntukan yang tidak mencukupi.

Ada juga rumah/kuarters guru yang rosak teruk akibat dimakan anai-anai dan tidak boleh dibaiki lagi.

Sementara itu, terdapat juga gangguan bekalan elektrik dan kipas syiling yang disediakan tidak berfungsi serta bukanlah berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, NUTP juga ada menerima permasalahan berkaitan dengan warden yang menduduki rumah/kuarters yang telah dihapuskira tetapi dipaksa membayar balik ITP yang diterima sepanjang menduduki rumah tersebut.

Oleh itu, NUTP merayu agar Menteri Pendidikan dan Kementerian

Pendidikan Malaysia dapat melihat semula permasalahan yang dihadapi oleh guru yang memegang jawatan warden ini.

NUTP juga amat berharap pihak atasan Kementerian Pendidikan dapat mengkaji semula permasalahan tersebut dan elaun yang diterima oleh mereka yang memegang jawatan warden setimpal dengan tugas yang diberikan.

Kemungkinan perubahan yang bakal dilakukan tersebut, tidak menjadi permasalahan lagi kepada ketua jabatan untuk melantik earden sekolah kelak.

* Leftenan Kolonel Bersekutu Harry Tan Huat Hock adalah Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan