Biarlah Anwar terdesak — Hafiz Hassan

12 OKTOBER — Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan percaya Yang di-Pertuan Agong tidak akan melayan tuntutan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan dan menganggapnya sebagai tindakan terdesak presiden PKR untuk berkuasa.

Pada masa yang sama, beliau melahirkan keyakinan bahawa Agong akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara.

Sememangnya Agong perlu bertindak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan kes perebutan jawatan menteri besar Perak boleh dijadikan rujukan.

Dalam kes tersebut, berikutan pilihan raya umum yang diadakan pada 8 Mac 2006, perikatan politik ketika itu yang kenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) telah memenangi 31 kerusi daripada 59 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak .

Baki kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN). Pada 17 Mac 2008, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai menteri besar oleh Sultan Perak.

Pada 5 Februari 2009 tiga ahli DUN mengumumkan dan memberitahu Tuanku bahawa mereka tidak lagi menyokong PR dan sebaliknya menyokong BN.

Nizar kemudian menghadap Tuanku pada hari yang sama dan diberitahu bahawa permohonannya untuk membubarkan DUN ditolak oleh Tuanku.

Beliau kemudian diarahkan untuk mengemukakan peletakan jawatan dalam majlis mesyuarat, oleh kerana beliau tidak lagi memegang keyakinan majoriti ahli-ahli DUN.

Arahan itu dibuat menurut perkara XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tiada apa-apa dalam perkara XVI(6) atau dalam mana-mana peruntukan lain Undang-Undang Tubuh Kerajaan yang menetapkan bahawa hilang keyakinan terhadap menteri besar hanya boleh dibuktikan melalui undian dalam DUN.

Keterangan hilang keyakinan terhadap menteri besar boleh dikumpulkan daripada sumber-sumber luar yang lain dengan syarat, ia dibuktikan sewajarnya.

Sumber-sumber tersebut, hendaklah termasuk pengakuan oleh menteri besar sendiri dan/atau representasi yang dibuat oleh ahli-ahli DUN bahawa menteri besar tidak lagi menikmati sokongan majoriti ahli-ahli DUN.

Dalam kes di atas, terdapat keterangan tentang kehilangan keyakinan terhadap menteri besar melalui pengakuan oleh Nizar sendiri dan daripada pembuktian sokongan oleh 31 ahli DUN dari BN.

Justeru, ia memberikan BN kemenangan majoriti dalam DUN. Kesemua ini jelas menunjukkan hilang keyakinan daripada majoriti ahli-ahli DUN di bawah kepimpinan Nizar sebagai menteri besar.

Nah, kalau Anwar mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, biar beliau menyembahkan bukti kepada Agong.

Rakyat tidak perlu resah, bimbang atau risau. Serahkan kepada Agong untuk mengendalikannya berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat sebenarnya sedang resah — malah marah — dengan gelombang ketiga Covid-19.

Jumlah kes baharu Covid-19 melonjak kembali dengan 561 kes berbanding 374 kes pada hari sebelumnya, dengan menyaksikan dua lagi kematian dicatatkan.

Biar Anwar ‘desperados’. Jangan kerajaan yang resah dengan 13 Oktober sehingga hilang fokus tugas mengendalikan gelombang baharu Covid-19 demi menjaga kesihatan rakyat.

* Hafiz Hassan adalah pembaca ProjekMM.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.