Isytihar darurat canggah Perlembagaan — Suhakam

24 OKTOBER — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangan dengan cadangan pengisytiharan darurat oleh kerajaan untuk membendung wabak Covid-19 seperti yang dilaporkan oleh media. 

Suhakam berpandangan bahawa tindakan ini boleh membawa kepada ketidakstabilan yang berlarutan di negara ini dan di kalangan rakyat terutama pada masa yang sukar sebegini.

Pengisytiharan darurat di negara ini pernah berlaku sebelum ini; darurat pada 1964, darurat di Sarawak pada 1966, darurat pada 1969 dan darurat di Kelantan pada 1977. 

Pengisytiharan darurat sebelum ini mengakibatkan penangguhan sidang Parlimen, kemerosotan ekonomi dan pencabulan hak asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya Baginda berpuas hati bahawa terdapat ancaman terhadap keselamatan negara, ekonomi atau ketenteraman awam. 

Keadaan kesihatan dan ekonomi semasa di negara ini yang berkaitan dengan Covid-19, tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. 

Pengisytiharan darurat yang dicadangkan dengan tujuan untuk membendung Covid-19 adalah tidak mengikut Perlembagaan dan tidak boleh dijustifikasikan terutamanya apabila orang ramai mematuhi perintah kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh kerajaan. 

Langkah-langkah terkini yang diambil oleh kerajaan untuk mencegah jangkitan di negara ini dan pematuhan ketat terhadap SOP oleh rakyat adalah mencukupi untuk mengatasi wabak tersebut.

Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media Istana Negara pada hari ini, Suhakam mengambil maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong akan segera berunding dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan Pengisytiharan Darurat yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri.

Dalam hal ini, Suhakam menggesa kerajaan untuk menilai semula keperluan pengisytiharan darurat untuk menangani wabak Covid-19 dan menyeru kerajaan untuk mendukung tugas dan tanggungjawab mereka dalam menghormati kedaulatan undang-undang dan melindungi kebebasan asasi rakyat seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan