Syefura letaklah jawatan — Leong Kim Soon

10 NOVEMBER — MCA mengecam dan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Ketari Young Syefura Othman meletak jawatan kerana dilihat sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila mengadakan aktiviti yang tidak dibenarkan pada 9 November di Sepang, Selangor.

Beliau sebagai seorang wakil rakyat sepatutnya sedar dan tahu mengenai SOP yang dikuatkuasakan, namun beliau masih berdegil dan tetap meraikan hari ulang tahun kelahirannya bersama rakan-rakan di sebuah pantai di Sepang, Selangor.

Oleh itu, beliau wajar dikenakan hukuman atas salah laku ini yang menunjukkan teladan tidak baik kepada rakyat.

Ironinya, pada 22 Ogos lalu, Adun Ketari lantang mendesak Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali supaya meletak jawatan kerana melanggar kuarantin.

Sekarang pula giliran Syefura melanggar SOP. Oleh itu, beliau digesa melakukan apa yang beliau sendiri pernah katakan dahulu atau istilah yang biasa digunakan, ‘cakap serupa bikin’ dengan meletak jawatannya sebagai Adun Ketari.

Permohonan maaf Syefura juga dilihat sebagai tidak ikhlas. Apabila teruk dikecam, beliau bagaimanapun hanya memadamkan gambar-gambar berkenaan tetapi masih enggan mengakui kesilapannya dan turut enggan memohon maaf secara seikhlas hati.

Hanya selepas isu ini dilaporkan oleh media dan menjadi tular, barulah beliau mengakui kesilapan dan memohon maaf.

Berdasarkan gambar-gambar yang dimuat naik, beliau bukan sahaja mengadakan aktiviti yang dilarang, tetapi juga kelihatan tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Dalam responnya kepada komen-komen netizen, beliau juga mengakui berulang-alik dari Ketari, Pahang ke tempat tinggalnya di Selangor.

Maka jelaslah bahawa Syefura melanggar SOP PKPB dengan sengaja dan permohonan maaf beliau tidak memadai. Beliau sepatutnya dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan yang dilakukan.

Selain itu, DAP juga digesa supaya tidak membisu terhadap isu ini dan berhenti menutup mata kepada kesalahan yang dilakukan oleh wakil rakyatnya atau pemimpin mereka sendiri.

* Datuk Leong Kim Soon adalah Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.