Tanya menteri ‘takut mati’ — Faisal Aziz

12 NOVEMBER — Dalam Doktrin Tanggungjawab Menteri Secara Bersama (Doctrine of Ministerial Responsibility) kepada Parlimen secara individu mahupun kolektif, salah-satu tanggungjawab menteri terkandung dalam pertanggungjawaban pengganti (vicarious liability).

Ia adalah satu Konvensyen Perlembagaan yang memandu serta menjelaskan bahawa — ‘a Minister is vicariously responsible to Parliament for the acts of his civil servants and for any policy and administrative bungling in his ministry’.

Tanggungjawab individu menuntut menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen di atas perjalanan jabatannya.

Sementara itu, tanggungjawab secara kolektif bermaksud semua jemaah menteri bersepakat dan bertanggungjawab bersama sebagai satu pasukan terhadap Parlimen.

Konvensyen ini menjadi perisai kepada penjawat awam daripada menjadi mangsa sebarang serangan ahli politik di Parlimen, dengan meletakkan tanggungjawab utama kepada menteri untuk memberi penjelasan dan mempertahankan penjawat awam.

Justeru, atas dasar konvensyen ini, Ahli Parlimen Bintulu dari Perikatan Nasional Datuk Seri Tiong King Sing harus memohon penjelasan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bukan membuat tuduhan Ketua Pengarah (KP) Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai ‘takut mati’.

Hal ini demikian kerana Menteri Kesihatan mempunyai tanggungjawab menjaga kredibiliti penjawat awam, selain tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen.

Tidak adil seorang wira negara atau petugas Barisan Hadapan seperti KP Kesihatan yang bukan ahli Parlimen, diserang di platform yang beliau sendiri tidak mempunyai hak korum hadir untuk membela diri.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.