J-KOM bukan isu anak muda — Rahman Imuda

1 DISEMBER — Hari ini saya melihat ada satu kumpulan yang menjenamakan diri mereka sebagai kumpulan anak muda dengan beberapa tuntuan berhubung Belanjawan 2021.

Saya agak terganggu dengan tuntutan-tuntutan ini kerana berpandangan ia bukanlah refleksi kepada apa yang diharapkan anak muda.

Saya mengakui dan menghormati hak mana-mana kumpulan untuk mengeluarkan pendirian atau kenyataan masing-masing.

Cuma, saya bimbang kenyataan ini akan dijadikan naratif utama tentang keperluan mendesak yang sedang dihadapi oleh anak muda.

Bagi saya, tuntutan-tuntutan yang disebutkan jauh tersasar daripada apa yang diharapkan oleh orang muda.

Isu peruntukkan kepada Jasa (dijenamakan semula kepada J-KOM) sebagai contoh, saya tidak fikir ia isu yang paling dikhuatiri anak muda – tambahan lagi, parti politik pembangkang sudah konsisten ‘menyanyikan’ lagu Jasa pada sesi perbahasan Belanjawan 2021.

Kita tidak perlu menjerit hal yang orang lain sedang azankan, lebih-lebih lagi jika kekuatan kita masih rapuh.

Kegusaran anak muda adalah soal jaminan pekerjaan

Secara jujur, saya kecewa dengan sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen kerana tidak ramai ahli Parlimen yang bercakap dengan serius soal pekerjaan. Saya kerap menyatakan — selain Covid-19, kelaparan juga mampu membunuh.

Dalam erti kata lain isu pendapatan rakyat sama pentingnya dengan keperluan memastikan sektor kesihatan kita mampu menampung pesakit ketika pandemik Covid-19.

Saya tidak mengatakan isu-isu lain yang dibangkitkan para ahli Parlimen langsung tidak penting, saya cuma kecewa kerana isu terpenting yang sepatutnya diletakkan sebagai agenda utama dibahas secara ringan.

Bantuan sosial penting, tapi ia hanyalah rawatan sementara kepada masalah rakyat. Penyembuhan hanya akan berlaku apabila rakyat diberikan peluang pekerjaan dengan gaji yang wajar.

Jika kita turun ke lapangan dan bertanya kepada anak muda; apa kegusaran utama mereka ketika pandemik Covid-19? Saya boleh beri jaminan — majoriti daripada mereka akan menjawab isu pekerjaan adalah isu yang merisaukan.

Bagi mereka yang baharu sahaja ingin memasuki industri, mereka akan melihat peluang pekerjaan yang terlalu sedikit kerana masalah pasaran buruh yang sudah berlaku sejak sekian lama.

Bagi mereka yang sedang bekerja pula, mereka khuatir tentang keselamatan pekerjaan mereka — lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang lembab akibat Covid-19.

Bagi mereka yang sedang menganggur? Mereka adalah kumpulan rentan yang setiap hari memikirkan bagaimana untuk mendapatkan pekerjaan.

Oleh sebab itu, naratif keperluan utama anak muda haruslah memijak kepada realiti. Jika benar kita ada cita-cita untuk melihat lebik banyak partisipasi anak muda dalam politik, kita harus mula bercakap tentang keperluan mereka yang mendesak.

Isu pendidikan yang murah, pekerjaan, dan pemilikan aset (rumah dan kereta) — merupakan isu yang sangat dekat di hati mereka. Isu-isu politik seperti Jasa tidaklah terlalu digusarkan oleh anak muda.

Apa yang kita boleh lakukan untuk membantu penganggur mendapatkan pekerjaan?

Semasa pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan mengatakan akan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) dengan perbelanjaan RM3.7 bilion.

Bukan setakat itu, kerajaan juga mengumumkan akan menubuhkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara (MPN). Saya harap MPN ini turut disertai oleh wakil pekerja, bukan kumpulan elitis semata-mata.

Melihat daripada pengumuman-pengumuman ini, kelihatan kerajaan sedang mengakui kita berhadapan dengan masalah pengangguran yang kronik.

Angka-angka yang diberikan oleh kerajaan sepatutnya dibahaskan secara kritikal di Parlimen. Soalan yang paling mudah — dengan keadaan ekonomi dan ketidaktentuan industri — dari mana 500,000 pekerjaan akan dijana?

Soalan seperti ini harus ditanya berkali-kali kepada kerajaan, supaya tidaklah angka itu hanya kelihatan seperti angan-angan Mat Jenin.

Ada banyak yang boleh kita lakukan untuk membantu orang mendapatkan pekerjaan. Segalanya bermula dengan pengelasan para penganggur — mereka yang pertama kali mencari pekerja, penganggur mahir, dan penganggur tidak mahir.

Setelah pengelasan para penganggur dilakukan, barulah kita boleh mencari strategi untuk setiap kelas. Inisiatif MyStep (Short-term Employment Programme) yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan mempunyai kelemahan yang besar.

Meletakkan para penganggur dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam tempoh yang singkat bukan jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah pengangguran dan produktif.

Misalnya pekerjaan juruwat dan guru sementara secara kontrak di bawak skim ini — ia akan memerlukan masa yang panjang untuk melatih buruh mahir.

Lebih baik wang ini disalurkan ke program subsidi upah — dengan model yang lebih komprehensif.

Sebagai contoh, potongan cukai boleh dilaksanakan kepada majikan yang mengambil pekerja baharu atau memberikan latihan terhadap pekerja. Model itu harus berasaskan produktiviti — bukan semata-mata kupon sementara pekerjaan.

* Rahman Imuda merupakan aktivis buruh dan pembaca ProjekMM.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan