Cuba undi percaya DUN Johor — Salahuddin Ayub

5 DISEMBER — Esok merupakan hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk meluluskan belanjawan negeri bagi 2021.

Susulan daripada beberapa perkembangan menarik berkaitan politik tanah air khususnya di Parlimen dan terkini di DUN Perak, saya merasakan isu keabsahan sesebuah kerajaan itu sudah mula menjadi perhatian rakyat di negara ini.

Adalah penting untuk rakyat melihat adakah kerajaan yang ada pada hari ini, sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri, memiliki keabsahan itu.

Saya merasakan adalah elok sekiranya Umno mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar Johor untuk membuktikan adakah kerajaan negeri ini benar-benar dapat bertahan dan bermaruah untuk terus mentadbir negeri Johor.

Usul percaya ini akan dapat membuktikan keabsahan dukungan dan sokongan wakil-wakil Bersatu masih kekal menyokong kerajaan PN Johor.

Besar kemungkinan sesuatu yang penting akan berlaku esok semasa hari terakhir sesi penggulungan belanjawan negeri yang mungkin akan memanaskan lagi suhu politik kerajaan Perikatan Nasional di negeri Johor.

Datuk Salahuddin Ayub adalah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.