Koperasi legasi Ungku Aziz — Fattah Abdullah

15 DISEMBER — Saya mewakili Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan seluruh warga koperasi dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini.

Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan Pak Ungku merupakan pengasas dan mantan Yang Dipertua Angkasa bermula 12 Mei 1971 sehingga 7 Januari 2009. 

Allahyarham Pak Ungku merupakan negarawan yang amat disegani dan menyumbang  jasa dan bakti dalam bidang pendidikan dan ekonomi terutamanya dalam memperkasa ekonomi institusi agama Islam.

Beliau merupakan tokoh yang mengasaskan Angkasa menerusi Kongres Kerjasama Se-Malaysia pada 1966 dan Kongres Kerjasama Se-Malaysia Kedua pada 1971. 

Allahyarham juga mencetuskan idea menubuhkan koperasi sekolah pada 1968 untuk  membudayakan aktiviti keusahawanan dalam kalangan generasi muda sehingga koperasi sekolah menjadi model perniagaan yang menjadi rujukan gerakan koperasi antarabangsa.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara khususnya kepada warga koperasi atas sumbangan berterusan beliau menabur tenaga dan bakti dalam menanam benih semangat berkoperasi di kalangan rakyat serta memacu institusi ini ke arah kecemerlangan di peringkat nasional mahupun global.

Allahyarham memainkan peranan yang amat besar memperkasa Angkasa sehingga diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan apeks gerakan koperasi negara untuk menyatu dan mewakili gerakan koperasi di peringkat  nasional dan antarabangsa pada 23 Mei 1996.

Jasa dan bakti Allahyarham Pak Ungku kepada pembangunan gerakan koperasi negara dan dunia akademik serta pemerkasaan sosio ekonomi tidak ternilai harganya.

Bagi pihak  Angkasa, setinggi-tinggi penghormatan dan terima kasih atas jasa dan sumbangan  Allahyarham yang memajukan gerakan koperasi untuk terus kekal maju merentasi zaman. 

Legasi Allahyarham akan kekal disemat dalam jiwa 14, 625 buah koperasi dengan  keanggotaan enam juta ahli.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan  ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.

* Datuk Abdul Fattah Abdullah adalah Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan