Permai kitar semula Belanjawan 2021 — Lim Guan Eng

19 JANUARI — Semalam, RM15 bilion pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk perniagaan dan rakyat bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) sangat mengecewakan, apabila ia hanya dikitar semula dari Belanjawan 2021 atau pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

Tidak ada suntikan tunai baharu kepada ekonomi dan jauh lebih kecil daripada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion yang disarankan oleh pembangkang untuk mengatasi kemelesetan ekonomi semasa demi menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan.

Muhyiddin sama ada tidak peduli atau diberi nasihat yang salah jika dia menjangkakan kesan PKP 2.0 tidak begitu merosakkan ekonomi, berbandingkan dengan PKP 1.0 yang dilaksanakan pada 18 Mac 2020, dengan alasan bahawa banyak perniagaan kini dibenarkan beroperasi.

Selepas PKP 1.0, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjunam sebanyak negatif 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Sekiranya ekonomi menjunam sebanyak dua peratus pada suku pertama atau kedua tahun ini, ia sudah tentu tidak baik untuk ekonomi Malaysia kerana secara relatif, pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka kukuh.

Pakej bantuan RM15 bilion Permai terlalu kecil dan jauh berbeza dari pakej rangsangan ekonomi Prihatin bernilai RM305 bilion dengan suntikan fiskal RM45 bilion yang dilancarkan tahun lalu untuk mengurangkan kesan negatif PKP 1.0 kepada ekonomi negara.

Walaupun dengan langkah-langkah tersebut, ekonomi masih merosot kepada kemelesetan dan mencatat kadar pengangguran tertinggi dalam beberapa dekad iaitu 4.8 peratus pada November 2020.

Apa yang pakej bantuan bernilai RM15 bilion, dengan anggaran perbelanjaan langsung hanya RM3.87 bilion yang diubah atau dialihkan daripada keutamaan perbelanjaan yang ada, boleh membantu ekonomi kita untuk pulih?

Pendekatan “barang lama dalam bekas baharu” ini dapat dilihat oleh pengakuan Muhyiddin sendiri bahawa dana yang diperlukan bukanlah wang baharu, tetapi diagih semula daripada dana sedia ada dalam Belanjawan 2021.

Oleh kerana tidak ada suntikan fiskal baru ke dalam ekonomi di bawah Permai, terdapat kesan signifikan yang kecil terhadap pertumbuhan ekonomi untuk mengeluarkan ekonomi negara keluar dari kemelesetan. 

Mengapa tidak ada pelepasan sewa atau subsidi untuk perniagaan yang menderita tanpa pendapatan?

Bagaimanakah Permai oleh Muhyiddin ini dapat membantu melambatkan pemberhentian pekerja atau penutupan perniagaan dan menyelamatkan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia?

* Lim Guan Eng adalah bekas menteri kewangan dan setiausaha agung DAP.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.