Hukum pesalah dera budak — Rina Harun

31 JANUARI — Sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya ingin menzahirkan rasa hiba dan kesedihan yang amat mendalam atas kematian Allahyarham Adik Zubaidi Amir Qusyairi bin Abdul Malik pada 29 Januari 2021.

Saya turut merasakan keperitan dan kedukaan yang dirasai oleh ibu-ibu yang mempunyai anak sebaya dengan Allahyarham Adik Zubaidi.

Saya berkehendakkan agar kematian Allahyarham Adik Zubaidi disiasat segera dengan teliti, dan hukuman yang tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi, di samping menjadi pengajaran kepada para ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak, termasuklah yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

Sesungguhnya pihak kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.

Kementerian akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta memastikan tindakan tegas di ambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

Kementerian juga sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak- kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

Saya menyeru agar rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan.

Hatta, atas semangat “Kita Jaga Kita” saya berharap agar masyarakat turut menjadi “mata dan telinga” kepada pihak kerajaan, dan terus memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan setempat agar dapat terus melaporkan sebarang kecurigaan yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa.

Rakyat juga diseru untuk melaporkan terus sebarang kejadian sebegini ke Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.

Orang awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau Balai Polis yang berdekatan.

Dalam hal ini, saya turut menasihatkan kepada pihak keluarga yang berhasrat mengambil atau telah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sepertimana yang tertakluk dalam Akta Kanak- kanak 2001.

Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia memberi khidmat nasihat terhadap peraturan-peraturan dan prosedur yang sah yang perlu dipatuhi dalam urusan pengambilan anak angkat.

* Datuk Seri Rina Harun adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.