Bukan salah portal berita — Suhakam

21 FEBRUARI — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Malaysiakini didapati bersalah menghina mahkamah menerusi komen pembaca mengenai kehakiman yang diterbitkan di laman beritanya.

Walau bagaimanapun, Suhakam bimbang keputusan ini akan mencipta suatu duluan kehakiman yang mungkin akan memberikan implikasi terhadap hak rakyat kepada kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat di negara ini.

Kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang mutlak dan ia boleh dibataskan oleh undang-undang bagi tujuan mengekalkan keselamatan negara, ketenteraman awam, prinsip moral dan hubungan antarabangsa.

Suhakam ingin menyatakan bahawa dalam era digital kini di mana perbincangan serta komen dibuat secara terbuka, pemilik portal tidak seharusnya dipertanggungjawabkan terhadap komen yang dibuat oleh pembaca dalam portal mereka.

Dalam perkara ini, Suhakam menekankan bahawa rangka kerja undang-undang perlu mengikut arus perkembangan di mana meningkatnya penggunaan media digital sebagai platform perbincangan isu berkaitan kepentingan awam.

Media adalah alat penting yang menyumbang kepada kesedaran dan perlindungan hak asasi manusia yang lebih baik melalui pelaporan mengenai keadaan hak asasi manusia dalam negara.

Dalam hal ini, suatu persekitaran yang membolehkan media berfungsi secara berkesan harus diwujudkan bagi memenuhi kepentingan orang ramai.

Apa-apa permintaan atau langkah yang diambil untuk menurunkan kandungan digital harus berdasarkan undang-undang, pengawasan bebas melalui kaedah yang perlu dan berkadaran bagi mencapai matlamat sah seperti disebut di atas.

Akses sama rata kepada maklumat, jaminan kebebasan media dan kewartawanan yang bertanggungjawab menggambarkan komitmen Malaysia untuk mempromosi dan melindungi hak orang ramai kepada kebebasan berpendapat dan bersuara termasuk kebebasan berpendapat tanpa gangguan, serta hak untuk mendapatkan, menerima dan menyampaikan maklumat dan buah fikiran melalui apa jua saluran tanpa mengira sempadan.

* Suhakam adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.