Cukup 500 peluang kerja — Lim Lip Eng

8 MAC — Pengumuman berkenaan separuh juta peluang pekerjaan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menimbulkan banyak tanda tanya.

Persoalan yang jelas yang bermain di minda rakyat kini adalah apakah kenyataannya membawa erti atau hanya cakap kosong semata-mata?

Pengumuman 150,000 laptop dibuat tahun lepas untuk pelajar golongan B40 masih belum diterima, kali ini beliau masih mahu berjanji sedemikian rupa!

Pengumuman Zafrul berkenaan peluang pekerjaan itu juga tidak diikuti dengan maklumat yang logik.

Tiga soalan penting perlu dijawab oleh beliau. Pertama sekali, apakah jenis-jenis pekerjaan yang akan bakal ditawarkan kepada umum menerusi skim yang dirancang?

Seterusnya, 500,000 adalah satu angka raksasa dan bagaimanakah peluang pekerjaan tersebut akan diperolehi kerajaan bagi mereka yang menganggur memandangkan banyak perusahaan dan perniagaan terkesan dan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19?

Soalan ketiga, bilakah angka penuh berkaitan peluang pekerjaan tersebut akan dicapai untuk pengetahuan umum?

Selain itu, adakah separuh juta pekerjaan ini bakal ditawarkan melalui agensi kerajaan? Adakah wujud peluang pekerjaan bagi mereka yang tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi?

Memandangkan Parlimen juga masih belum dibenarkan bersidang, terpaksalah rakyat yang hilang kerja sejak penularan Covid-19 bertanya Menteri Kewangan melalui platform seperti media perdana dan secara maya.

Sekali lagi, 500,000 peluang bekerja bukan angka yang kecil dan sehingga kini masih ramai lagi rakyat di luar sana yang bergelut mencari pekerjaan yang sesuai untuk mereka.

Usahkan 500,000, sekiranya Zafrul boleh mewujudkan 500 peluang pekerjaan yang jelas jenisnya dan jelas proses pencariannya sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos untuk warga Kepong yang mencari kerja, pihak saya dengan besar hati akan mencari calon-calon yang sesuai untuk kerja-kerja yang ditawarkan.

* Lim Lip Eng adalah ahli parlimen Kepong.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan