Gantung parlimen ‘nyawa’ PM — Lim Guan Eng

8 MAC — Laporan polis perlu dibuat terhadap Perdana Menteri dan Kabinet kerana begitu keras kepala menolak titah diraja untuk mengadakan sidang Parlimen.

Penolakan tersebut bukan hanya merupakan tindakan pengkhianatan terhadap demokrasi tetapi juga penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Alasan tidak masuk akal Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menangguhkan sidang Parlimen dengan mengatakan bahawa Parlimen tidak digantung tetapi bagi membolehkan kerajaan memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan dalam meluluskan ordinan darurat.

Bagaimana boleh dikatakan Parlimen tidak digantung apabila Parlimen tidak dibenarkan berfungsi dan Ahli-ahli Parlimen tidak dapat menjalankan tugas mereka untuk mewakili pengundi mereka dan meluluskan undang-undang seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan?

Ahli Parlimen pembangkang juga menyokong dan tidak pernah menentang sebarang undang-undang untuk memerangi Covid-19. PKP lebih berkesan dalam memerangi Covid-19, bukan Proklamasi Darurat.

Sebenarnya undang-undang yang diluluskan di bawah kuasa Darurat juga dapat dilakukan dengan lebih berkesan melalui Parlimen.

Kenaikan penalti untuk pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari RM1,000 kepada RM10,000 denda kompaun untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat adalah melampau dan tidak adil.

Melampau kerana hanya seorang menteri dan bukan rakyat biasa mampu menanggung denda yang keras sebegitu.

Sekiranya seseorang didakwa di mahkamah, dia akan dikenakan hukuman penalti RM100,000 dan penjara tujuh tahun.

Ini tidak adil apabila ada dua darjat, di mana menteri tidak didakwa di mahkamah tetapi hanya rakyat biasa didakwa, seperti yang ditunjukkan dalam kes Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Takiyuddin tidak jujur apabila mendakwa bahawa peruntukan yang berkaitan untuk memanggil, menggantung dan membubar Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi berkuatkuasa ketika perintah darurat dilaksanakan di bawah Artikel 14 (1) Ordinan 2021 (Kuasa-Kuasa Penting) Darurat. 

Takiyuddin sengaja memilih untuk mengelirukan dengan meninggalkan kata-kata penting dalam ordinan Darurat iaitu “pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Agong”.

Oleh kerana Agong bertitah bahawa walaupun perintah darurat berkuatkuasa, Parlimen boleh bersidang pada tarikh yang difikirkannya sesuai, berdasarkan nasihat Perdana Menteri, tidak ada alasan bagi Perdana Menteri untuk tidak memberikan tarikh seawal mungkin untuk sidang Parlimen.

Takiyuddin harus berhenti menentang kehendak Agong dan rakyat dengan memutar belit dan berdolak dalih.

Takiyuddin sebaliknya harus menyokong permintaan untuk mengadakan segera sidang Parlimen oleh majoriti Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pembangkang dan kerajaan.

Bagi Takiyuddin untuk mendakwa bahawa kerajaan tidak mahu mendedahkan Ahli Parlimen kepada risiko yang tidak perlu kerana ramai dari mereka tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk Covid-19, dengan 77 orang Ahli Parlimen berusia antara 61 hingga 69, 19 orang antara 70 dan 79 dan empat orang adalah  berumur 80 tahun ke atas, adalah satu bentuk penghinaan. Jadi apa gunanya vaksinasi?

Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen yang dijangkiti Covid-19 di Parlimen tetapi dijangkiti di luar Parlimen. Semua tempat di mana jangkitan berlaku, termasuk sekolah dan pusat perniagaan, kini dibuka.

Hanya Parlimen sahaja ditutup. Tidak ada alasan untuk menggantung Parlimen kecuali untuk memastikan nyawa kerajaan dan Perdana Menteri sekarang, yang tidak yakin bahawa dia masih mempunyai sokongan majoriti Parlimennya.

* Lim Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP dan bekas menteri kewangan.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.