Beri ruang haji swasta — Razali Mohd Sham

13 MAC — Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) ingin merakam ucapan tahinah dan syabas kepada Perdana Menteri yang berjaya memperolehi tambahan 10,000 kuota haji daripada hasil pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Al-Yamamah, Arab Saudi baru-baru ini.

Ini menjadikan kuota rasmi haji Malaysia adalah sebanyak 41,600 orang, berdasarkan peratusan kuota haji yang ditetapkan oleh Arab Saudi untuk setiap negara iaitu pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Walaupun tambahan kuota haji ini hanya akan diluluskan selepas situasi haji kembali normal akibat pandemic Covid-19, rata-rata ahli kami amat bersyukur dengan pengumuman ini dan tidak sabar untuk memasarkan pakej haji swasta mereka kepada orang ramai.

Ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam perniagaan masing-masing selepas hampir setahun menutup operasi mereka.

Papuh yakin orang ramai tidak sabar untuk membeli pakej haji swasta walaupun pakej haji kali ini akan dikenakan SOP yang ketat oleh kerajaan Arab Saudi.

Bagi haji 2021, tiada pengumuman rasmi lagi dibuat oleh kerajaan Malaysia untuk membenarkan rakyat Malaysia mengerjakan haji.

Papuh berharap kerajaan Malaysia dapat mengumumkan dalam masa terdekat bagi membolehkan ahli-ahli kami memulakan segala operasi dan persediaan untuk pakej-pakej haji swasta mereka.

Sekiranya pengumuman kebenaran mengerjakan haji diumumkan lewat, Papuh khuatir bakal jemaah haji tidak dapat diberikan vaksin Covid-19 yang memerlukan masa 28 hari selepas dos pertama diberikan.

Selain daripada vaksin Covid-19, jemaah haji juga perlu mengambil vaksin Meningitis, Influenza dan Pneumokokal seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Ini akan mengambil masa lebih dari sebulan bagi melengkapkan kempat-empat dos vaksin yang ditetapkan.

Papuh berharap kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada hospital dan klinik swasta bagi membantu kerajaan mempercepatkan program vaksinasi nasional.

Papuh menaruh harapan yang tinggi, agar kerajaan Malaysia lebih prihatin untuk membuka pintu sempadan semula dengan SOP yang ketat.

Ini akan membolehkan rakyat Malaysia mengerjakan ibadah umrah mereka di bulan Ramadan.

Papuh yakin rata-rata rakyat Malaysia rindu untuk ke tanah suci Makkah dan Madinah setelah hampir setahun tidak dapat berbuat demikian.

Ahli-ahli Papuh juga bersedia dengan menyediakan pakej Umrah Norma Baharu sekiranya pintu sempadan negara dibuka dengan mengenakan SOP yang ketat.

Datuk Seri Razali Mohd Sham adalah Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh).
 

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Artikel Berkaitan